Raih sarjana muda di Oxford, sarjana dan PhD di Berkeley

CITA-CITA beliau mahu melanjutkan pengajian ke universiti ulung dunia, Oxford, setinggi gunung.

Namun, dek keterbatasan dana, impian itu hampir terkubur.

Mujurlah, ibu beliau sanggup mengorbankan sedikit wang persaraan CPF-nya demi menunaikan harapan anak yang melangit.

Kini, Dr Johannis Abdul Aziz, 37 tahun, merupakan graduan universiti berprestij itu, yang terkenal kerana melahirkan ramai golongan cendekiawan dan pemimpin dunia dalam pelbagai sektor.

Bekas pelajar Program Pendidikan Bijak (GEP) di Sekolah Rosyth dan Sekolah Anglo-Chinese (Bebas) itu pulang ke tanah air untuk menyandang jawatan felo penyelidikan di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Beliau mengisi jawatan tersebut awal tahun ini selepas bertahuntahun di perantauan.

Walaupun mendapat keputusan baik dalam peperiksaan GCE peringkat A, gred 2A dan 2B yang diterima membuat hatinya pecah seribu.

"Saya rasa terkilan kerana keputusan itu tidak melayakkan saya mendapat biasiswa.

"Seperti janji saya kepada ibu, saya berniat memohon ke universiti setempat. Tetapi apabila universiti setempat membuka permohonan, saya sudah pun di terima ke Oxford," kata beliau, anak seorang kerani perkapalan dan guru pesara.

Dr Johannis berjaya mendapat tempat di Universiti Oxford selepas berjaya meyakinkan panel dalam sesi interviu yang dijalankan di British Council di sini.

Begitupun, Dr Johannis terpaksa menangguhkan rancangan ke luar negara buat sementara kerana ibunya, Cik Neng Zahara Pakli, seorang guru pesara, hanya layak mendapat wang CPF-nya setahun kemudian apabila usianya mencecah 55 tahun.

Di akhir pengajian selama tiga tahun, beliau meraih ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Dua Atas dalam bidang politik, falsafah dan ekonomi.

Selepas setahun menjadi guru pengganti di Sekolah Perempuan Raffles (RGS), beliau mendapat satu lagi berita gembira apabila permohonannya melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di sebuah lagi universiti berprestij dunia, Universiti California Berkeley, diluluskan.

Kecuali kos bagi tahun pertama, pengajian selama tujuh tahun dalam bidang sains politik itu dibiayai sepenuhnya oleh universiti di Amerika Syarikat itu.

Pengajian tahun pertama dibiayai menerusi pinjaman bank, sumbangan CPF ayahnya dan dermasiswa $11,000 daripada Yayasan Lee yang diperolehi menerusi bantuan Yayasan Mendaki.

Kini antara bidang kajiannya termasuklah menyelidik pengajian sosial dalam konteks berbilang kaum Singapura dan amalan tentang kesihatan siber di kalangan pelajar.

"Saya amat terhutang budi kepada ibu saya kerana sanggup berkorban demi cita-cita saya.

"Saya juga berbesar hati kerana harapan beliau melihat anak berjaya di menara gading tidak dihampakan. Beliau juga berbangga kerana anaknya dapat memartabatkan nama bangsa dengan memasuki universiti seperti Oxford," kata pemuda yang masih bujang itu.