Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

KORONAVIRUS

'Raja sehari' sedih tapi faham peri perlu hadkan tetamu

Ramai teruskan pernikahan, tangguh majlis persandingan

Mar 28, 2020 | 05:30 AM

PASANGAN yang akan menjadi 'raja sehari' hujung minggu ini terpaksa membuat perubahan mendadak setelah jumlah hadirin acara sosial dihadkan kepada tidak lebih daripada 10 orang dek koronavirus Covid-19.

Walaupun kecewa dan sedih, pasangan yang bercakap bersama Berita Harian (BH) berkata mereka memahami dan reda dengan keadaan ini.

Ramai yang meneruskan pernikahan tetapi menangguhkan persandingan.

Encik Mohammad Asril Nur Aini dan pasangannya, Cik Nur Firdiyana Mohamed Rosdin, terkejut, kecewa dan sedih apabila mendapat berita itu hanya empat hari sebelum majlis perkahwinan mereka hari ini.

"Kami sudah merancang untuk hari ini selama dua tahun. Kami memang tidak jangka situasi ini akan berterusan sampai ke tahap ini," ujar Encik Asril, 31 tahun.

Menurut kapten kereta api SMRT itu, mereka sepatutnya mengadakan pernikahan di dewan majlis Muslim Delight di Pusat Beli-Belah Concorde di Orchard Road tetapi mengalih majlis itu ke rumah Cik Nur Firdiyana.

Sebelum kawalan ketat itu diumum, mereka sudah menyediakan langkah-langkah pencegahan bagi tetamu dan mengehadkan bilangan tetamu kepada 250 orang di dalam satu ruang pada satu-satu masa.

"Sekarang dengan peraturan baru ini, adik-beradik saya mungkin tidak boleh hadiri majlis pernikahan saya kerana keluarga saya besar.

"Memang menyedihkan keluarga tersayang saya tidak dapat menghadiri akad nikah saya," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.

Keadaan itu juga dialami Cik Zafirah Mohd Zein, yang mempunyai ramai ahli keluarga, dan pasangannya, Encik Fadhil Alsagoff, kededuanya 27 tahun.

Menurut beliau, keluarga mereka memutuskan menangguhkan persandingan dua minggu lalu, sebelum pengumuman itu dibuat.

"Saya dan pasangan saya mempunyai ramai ahli keluarga, jadi kami rasa ia keputusan wajar untuk menjaga kemaslahatan mereka, terutama anak kecil dan yang tua," kata Cik Zafirah.

Mereka sepatutnya bernikah di Masjid Omar Salmah hari ini tetapi mengalih majlis itu ke rumah Cik Zafirah. Beliau telah memaklumkan tetamunya supaya datang mengikut masa yang diperuntukkan agar mereka dapat mengawal bilangan orang dalam rumah pada satu-satu masa.

Turut terjejas dengan peraturan baru itu ialah pemilik perniagaan perkhidmatan perkahwinan, seperti pengasas Putri Mas Bridal and Beauty Gallery Pte Ltd, Cik Masturah Abdullah, yang meluahkan rasa risau tentang situasi kini.

"Ada membatalkan terus, ada telah membuat janji temu dengan kami untuk membincangkan penangguhan majlis mereka ke tahun depan," ujarnya.

Cik Masturah, 64 tahun, berkata tiga perkahwinan yang diuruskannya hujung minggu ini ditukar kepada pernikahan sahaja, tanpa majlis walimah.

Selain itu, semua pelanggan yang menetapkan majlis mereka dari sekarang hingga Jun menangguhkan rancangan mereka, tanpa menetapkan tarikh baru.

"Semua perkara telah ditangguhkan. Jadi kita tidak tahu pun bila ia akan terjadi, kerana kita tidak tahu bila situasi akan pulih," kata Cik Masturah.

Cik Fatimah Mohsin, 43 tahun, daripada Fatimah Mohsin Wedding Gallery, berkata: "Apabila berita tentang perhimpunan dihadkan seramai 10 orang saja keluar, ramai klien saya meluahkan rasa sedih, tetapi saya memberitahu mereka, tidak mengapa dan buat yang wajib dulu."

Meskipun sekarang waktu sukar bagi perniagaan perkhidmatan perkahwinan beliau, Cik Fatimah berkata beliau cuba berfikir positif.

"Harap-harap selepas situasi Covid-19 sudah pulih, lebih ramai orang akan merebut peluang untuk akhirnya mengadakan majlis perkahwinan mereka," katanya.


"Apabila berita tentang perhimpunan dihadkan seramai 10 orang saja keluar, ramai klien saya meluahkan rasa sedih, tetapi saya memberitahu mereka, tidak mengapa dan buat yang wajib dulu."
- Cik Fatimah Mohsin, daripada Fatimah Mohsin Wedding Gallery.


"Saya dan pasangan saya mempunyai ramai ahli keluarga, jadi kami rasa ia (menangguhkan persandingan) keputusan wajar untuk menjaga kemaslahatan mereka, terutama anak kecil dan yang tua."
- Cik Zafirah Mohd Zein, yang meneruskan pernikahan bersama Encik Fadhil Alsagoff.