SEORANG lelaki warga Singapura yang merupakan pelajar di sebuah universiti Britain ketika dia mengaku bersalah merakam video cabul kehormatan wanita di beberapa tempat, termasuk tandas awam, dijel setahun dan didenda $2,500 semalam.
Colin Chua Yi Jin, kini berusia 24 tahun, mengaku bersalah atas tujuh tuduhan mencabul kehormatan wanita dan satu lagi tuduhan memiliki filem lucah iaitu sebuah kesalahan di bawah Akta Filem di sini.
Rakaman Chua, membabitkan 11 wanita dan seorang lagi mangsa yang tidak dikenal pasti, lapor The Straits Times (ST).
Sebelum ini, sekatan bersuara dikuatkuasakan ke atas Chua untuk melindungi identitinya, namun dilonggarkan tahun lalu, selepas Ketua Hakim Sundaresh Menon menyokongi keputusan Mahkamah Rendah untuk berbuat demikian.
Sekatan bersuara selalunya dikuatkuasakan bagi melindungi mangsa kesalahan seksual. September lalu, 11 daripada mangsa Chua telah meminta agar identitinya didedahkan.
Sekatan itu masih dikuatkuasakan bagi beberapa butiran tertentu yang bakal mendedahkan identiti mangsa, termasuk hubungan mereka bersama Chua, dan nama universiti yang telah dia menyertai sejak 2018.
Dalam satu prosiding sebelum ini, mahkamah diberitahu mangsa pertama Chua, yang pada ketika itu berusia 18 tahun, dirakam semasa beliau sedang mandi di sebuah bilik hotel pada awal pagi 2 Disember 2015.
Pada awal 2016, guru besar maktab rendah mangsa itu memberitahunya, rakaman kejadian tersebut sudah disiarkan dalam internet dan polis juga telah diberitahu.
Dalam satu Kenyataan impak kesalahan ke atas mangsa (VIS), wanita itu berkata beliau rasa dikhianati.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Zhi Hao berkata: "Beliau telah menolak pelbagai kegiatan sosial yang melibatkan beliau menginap di hotel dan calet semasa sambutan ulang tahun kerana takut jika perlu menggunakan tandas awam. Beliau menghadapi isu keyakinan diri dan rasa seolah dirinya 'tidak layak'."
Chua terus menyasarkan wanita lain selepas kejadian itu. Antara lain, dia memasang alat rakaman di sebuah tandas di dalam rumahnya di Singapura dan merakam beberapa wanita.
Dia juga telah merakam video dalam skirt seorang wanita berusia 20 tahun semasa di eskalator.
Mahkamah diberitahu tahun lalu, dua daripada rakamannya disebarkan dalam talian.
Selepas menerima beberapa laporan antara awal 2016 dengan Jun 2019, pegawai dari Pasukan Polis Singapura (SPF), mengenal pasti Chua sebagai suspek utama selepas siasatan awal dijalankan.
Mereka menyerbu rumahnya pada 3 Julai 2019, dan merampas tujuh daripada perkakas peribadinya. Siasatan forensik mendapati 16 rakaman mencabul kehormatan dan 124 gambar 'upskirt' atau dalam skirt dalam alat-alat tersebut.
Daripada dua video yang disebarkan dalam talian dan lagi 16 yang ditemui dalam alat rakamannya, 14 dirakam di rumahnya.
Dia kemudian mengaku kepada polis kesalahan dilakukannya itu.