Rakan Bahasa hargai warisan negara menerusi pertandingan kewartawanan, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Rakan Bahasa hargai warisan negara menerusi pertandingan kewartawanan

Apr 14, 2019 | 05:30 AM

PENGALAMAN menjadi Rakan Bahasa pada tahun lalu bukan hanya telah memupuk rasa cinta lebih besar terhadap bahasa Melayu bagi Karl Basil Karl Zubin.

Malah, ia membuat pelajar darjah lima itu lebih menghargai sejarah lama dan warisan negara ini menerusi satu pertandingan kewartawanan dipanggil NewsMaker.

Semalam, pelajar St Joseph's Institution (SJI) Junior itu sekali lagi dilantik sebagai Rakan Bahasa dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Kebudayaan Cina Singapura dekat Tanjong Pagar.

"Menerusi pertandingan NewsMaker, saya dapat belajar tentang banyak perkara di Taman Warisan Melayu, seperti artifak dan dokumen tentang Singapura pada masa lalu. Saya juga belajar tentang kisah bagaimana kawasan Kampong Glam diasaskan dan bagaimana Istana Kampong Glam dibina," kata pelajar berusia 11 tahun itu.

Pelantikan Rakan Bahasa itu merupakan sebahagian daya usaha Bulan Bahasa untuk memupuk rasa cinta terhadap bahasa Melayu dalam golongan belia dan menggalak mereka memperjuangkan kegiatan bahasa di sekolah mereka.

Discover Malay Home Based Businesses

Tahun ini, seramai 302 pelajar merangkumi 154 pelajar sekolah rendah, 132 pelajar sekolah menengah, enam pelajar madrasah dan 10 penuntut institusi pengajian tinggi dilantik sebagai Rakan Bahasa.

Tetamu terhormat majlis itu, Cik Rahayu Mahzam, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, berkata beliau gembira melihat sambutan baik daripada guru yang telah mencalonkan anak murid mereka untuk menjadi Rakan Bahasa.

"Semoga ia sesuatu yang dapat kita terus perkembangkan tahun demi tahun dan keluarga Rakan Bahasa akan menjadi lebih besar," kata Cik Rahayu, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong.

Selain pertandingan NewsMaker, satu pertandingan baru - Penterjemah Pintar - juga akan diperkenalkan kepada Rakan Bahasa tahun ini.

Disokong Jawatankuasa Penterjemahan Nasional, pertandingan itu bertujuan menekankan kerelevanan dan kepentingan kedwibahasaan kepada pelajar.

Pertandingan itu bakal berlangsung di Sekolah Rendah Oasis pada 17 Mei nanti.

Cik Rahayu berkata kedwibahasaan adalah antara tunggak pendidikan di Singapura dan sebagai negara yang moden dan pragmatis, ia satu perkara yang perlu ditekankan.

"... pelajar perlu ada keupayaan bertutur dalam bahasa Inggeris. Tetapi pada masa yang sama, kita ingin mengekalkan identiti dan juga mengadakan sesuatu kaitan kepada kebudayaan dan tradisi kita. Jadi amat penting bagi kita menggalak kedwibahasaan," katanya.

Seorang lagi Rakan Bahasa, Khadiijah Mazalan daripada Madrasah Alsagoff, berkata dalam masyarakat majmuk Singapura, memang penting bagi belia fasih berbahasa Inggeris tetapi pada masa yang sama, mereka juga harus mengekalkan penggunaan bahasa ibunda.

"Kita harus bangga dengan bahasa kita sendiri dan bahasa Melayu juga Bahasa Kebangsaan Singapura. Kita tidak boleh lupakannya," katanya.

Antara program lain yang akan diadakan bagi Rakan Bahasa ialah Kembara Rakan Bahasa, iaitu kegiatan kad yang mencabar Rakan Bahasa menyelesaikan tugasan berbeza untuk mengasah kemahiran dan minat dalam bahasa Melayu.


"Menerusi pertandingan NewsMaker, saya dapat belajar tentang banyak perkara di Taman Warisan Melayu, seperti artifak dan dokumen tentang Singapura pada masa lalu. Saya juga belajar tentang kisah bagaimana kawasan Kampong Glam diasaskan dan bagaimana Istana Kampong Glam dibina."
- Karl Basil Karl Zubin, 11 tahun, Rakan Bahasa.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map