RAKAN kongsi masyarakat seperti Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim Singapura (IMSSA) membantu mengurangkan kesan terhadap keluarga dan orang tersayang apabila pesalah dipenjarakan.
Antara program yang ditawarkan oleh IMSSA termasuk program mentoring untuk kanak-kanak sambil menyediakan habuan makanan untuk keluarga yang memerlukan serta mempunyai sukarelawan untuk melakukan lawatan ke rumah untuk mendekati keluarga-keluarga ini serta banduan.
Mengalu-alukan usaha yang dijalankan oleh IMSSA, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata organisasi seperti ini dapat menawarkan sokongan holistik untuk pesalah dan keluarga mereka.
Semasa lawatannya ke IMSSA semalam, Dr Faishal berpeluang untuk mempelajari tentang usaha-usaha yang dijalankan oleh badan tersebut.
"IMSSA juga merupakan ahli Rangkaian Pemulihan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) yang dirasmikan baru-baru ini, yang membolehkan pendekatan yang lebih kolaboratif untuk membantu pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.
"Perkara ini sudah berlaku, dengan IMSSA bekerjasama dengan perkhidmatan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) untuk menghubungi keluarga yang memerlukan sokongan," kata Dr Faishal dalam satu catatan di laman Facebook semalam.
Tambahnya, Dr Faishal berkata melalui pendekatan seperti ini, IMMSA sedang menjalankan peranannya untuk keluarga yang memerlukan dan membantu menghalang anak-anak daripada mengambil jalan yang salah.