Subuh
5:48
Syuruk
7:05
Zuhur
1:10
Asar
4:16
Maghrib
7:13
Isyak
8:21

Rakyat boleh jadi pertahanan pertama tangani ancaman siber

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Rakyat boleh jadi pertahanan pertama tangani ancaman siber

Apr 27, 2019 | 05:30 AM

RAKYAT memainkan peranan penting dalam menjadi barisan pertahanan pertama menentang ancaman daripada gangguan digital yang boleh menjejas cara kehidupan, perpaduan sosial dan keharmonian kaum serta agama, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pertahanan), Dr Mohd Maliki Osman.

Berucap di sidang anjuran bersama Tableau Software dan GovTech kelmarin, beliau berkata serangan siber, kempen menyebarkan maklumat palsu dan berita palsu boleh menjejas keyakinan dan daya ketahanan psikologi rakyat.

Sedang negara ini berkembang menjadi Negara Bijak, Dr Maliki berkata teknologi digital akan semakin 'tertanam' dalam cara bagaimana orang hidup, bekerja dan bermain.

"Sementara kita berhasrat memanfaatkan kuasa teknologi digital untuk mempertingkat kehidupan, kita mesti tetap sedar akan ancaman yang dibawa oleh keupayaan yang sama itu apabila ia dieksploitasikan orang lain untuk tujuan yang tersembunyi dan berbahaya," kata beliau.

Menurut Laporan Ancaman Singapura yang dikeluarkan firma keselamatan siber Carbon Black, hanya 4 peratus daripada 250 eksekutif perniagaan setempat yang ditinjau berkata pertubuhan mereka tidak pernah mengalami serangan siber.

Lebih 90 peratus pula melaporkan terdapat kenaikan dalam jumlah serangan siber dan pencerobohannya semakin canggih.

Dr Maliki turut memberi beberapa contoh serangan siber yang berlaku di seluruh dunia yang telah menjejas ekonomi negara.

Misalnya, perisian tebusan atau ransomware WannaCry menyebabkan kerosakan bernilai AS$8 bilion ($11 bilion) berlaku pada Mei 2017.

Antara agensi terbesar yang terjejas ialah Khidmat Kesihatan Nasional (NHS) United Kingdom (UK).

Pada Jun 2017 pula, perisian hasad atau malware NotPetya menyebabkan kerosakan bernilai hampir AS$10 bilion ($13.6 bilion) berlaku, dengan pelbagai syarikat di seluruh dunia menjadi mangsa malware itu.

"Contoh WannaCry dan NotPetya itu menunjukkan serangan siber boleh mempunyai kesan ekonomi antarabangsa yang serius.

"Pusat bagi Kajian Strategik dan Antarabangsa, sebuah kumpulan pemikir berpangkalan di Washington D.C, menganggarkan dalam laporan 2018 mereka bahawa pencerobohan keselamatan komputer menyebabkan ekonomi sejagat rugi sekitar AS$600 bilion setiap tahun - iaitu 0.8 peratus ekonomi sejagat," kata Dr Maliki.

Di Singapura, pemerintah telah melaksanakan beberapa langkah untuk melindungi rangkaian dan sistem terhadap serangan siber.

Akta Keselamatan Siber telah dilaksanakan dan usaha sedang dijalankan untuk membina teras karyawan keselamatan siber yang kukuh, kata Dr Maliki.

Beberapa kempen bagi mempertingkat kecelikan digital dan meningkatkan kesedaran tentang ancaman maklumat palsu juga telah diadakan.

Awal tahun ini, Singapura memperkenalkan Pertahanan Digital sebagai teras keenam dalam rangka kerja pertahanan nasional, Pertahanan Mutlak.

Dr Maliki menambah, sementara sektor khidmat awam meneruskan perjalanan inovasi dan digitalisasi mereka, orang ramai tidak harus lupa bahawa terdapat segmen masyarakat yang memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri pada dunia digital.

"Kita harus menggalakkan mereka yang kurang mahir dalam digital untuk memperolehi kemahiran digital asas, misalnya, penduduk warga emas kita.

"Saya tahu ramai daripada kita di sini merupakan pegawai khidmat awam, dan kita membangunkan banyak aplikasi baru, tetapi ingatlah bahawa terdapat orang di luar sana yang memerlukan masa lebih lama untuk membiasakan diri mereka dengan beberapa teknologi baru ini.

"Marilah kita juga ingat bahawa masyarakat kita berbilang bahasa, dan khidmat awam digital kita harus direka untuk memenuhi keperluan semua rakyat Singapura, tidak kira bahasa dan usia," kata beliau.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3