Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ramai akur ada pembaziran makanan di bulan Ramadan: Tinjauan BM

Pembaziran makanan berlaku di Singapura dan bak satu 'rahsia terbuka' yang sukar diakui, ia turut berlaku semasa Ramadan. Apakah yang boleh dilakukan bagi menangani isu ini? BERITA MINGGU melaporkan dalam halaman ini dan halaman sebelah.
AM
Jun 04, 2017 | 05:30 AM



KLISE Singapura sebagai 'syurga makanan' menjadi begitu ketara setiap Ramadan.



Daripada makanan kesukaan ramai seperti burger Ramly 'special' kepada kebab keju dan minuman pelbagai rupa, tarikan utama di lima bazar utama di serata pulau - di Geylang Serai, Kampung Jawa, Woodlands, Tampines dan Jurong West - adalah jelas.



Malah, secara purata, dua pertiga gerai di bazar-bazar ini menjual makanan.



Di masjid serata pulau pula, beraneka juadah iftar disediakan percuma, dengan beberapa masjid turut menyediakan kudapan bagi jemaah yang bersolat tarawih.



Di rumah, khidmat penghantaran makanan ke rumah yang kian meluas pula menawarkan keluarga pilihan sajian pelbagai dengan cara mudah.



Namun, terselindung di sebalik pesta makanan ini adalah 'amalan' yang mencetus keprihatinan - pembaziran makanan.



Masalah ini diakui ramai yang ditinjau Berita Minggu, termasuk pegerai dan pengunjung ke bazar Geylang Serai - bazar terbesar dengan sekitar 1,000 gerai - baru-baru ini.



Kebanyakan peserta (83 peratus) dalam tinjauan rambang melibatkan 60 orang itu berkata mereka sedar pembaziran berlaku semasa Ramadan.



Sejumlah 78 peratus pula berkata mereka pernah membeli atau memasak makanan secara berlebihan - yang tidak mampu dihabiskan - yang kemudiannya terpaksa dibuang.



"Memang, saya cuba elak membeli makanan secara berlebihan, tapi kadangkala saya terbeli juga, kerana berasa amat teringin... kalau tak habis, tong sampah jawabnya," kata Encik Salleh Abdullah, 38 tahun, yang ditemui di bazar Geylang.



Penjual kebab yang hanya ingin dikenali sebagai Sunny berkata beliau cuba mengelak pembaziran dengan memberi kebab yang tidak terjual kepada pelanggan dan pegerai lain sebelum pulang setiap hari.



Beberapa pegerai lain juga berkata mereka tidak menyediakan makanan awal, tetapi berdasarkan permintaan.



Namun, tinjauan BH di bazar Geylang pada hari kerja baru-baru ini menunjukkan beberapa gerai yang menjual kudapan gorengan mempunyai 'stok' yang belum terjual selepas 9 malam, apabila jumlah pengunjung mula susut.



Beberapa pelanggan di kedai kopi dan pusat penjaja makanan berkaitan pula meninggalkan meja mereka tanpa menghabiskan makanan masing-masing.



Ada pelbagai cara makanan dibazirkan.



Di tahap perusahaan, makanan rosak apabila tidak disimpan dengan betul. Makanan yang masih elok juga dibuang selepas tarikh luput atau kerana ia kelihatan kurang cantik.



Di tahap peribadi, pembaziran berlaku apabila tidak dihabiskan makanan di pinggan.



Tiada perangkaan khusus berkenaan pembaziran makanan semasa Ramadan atau semasa perayaan lain di Singapura.



Namun ZeroWaste SG - pertubuhan sekitaran bukan pemerintah - menganggarkan jumlah makanan yang dibuang meningkat sekitar 10 hingga 20 peratus pada musim perayaan.



"Ada keluarga membeli lebih banyak makanan pada musim perayaan, terutama apabila tetamu yang makan bersama.



"Namun kadangkala, tidak semua makanan ini mampu dihabiskan," kata pengarah eksekutif ZeroWaste SG Encik Eugene Tay.



Bersependapat, Ustaz Muhd Ridzwan Abdul Manap berkata ada yang 'terlupa' dan membeli makanan secara berlebihan ketika Ramadan.



"Kita perlu lebih sedar bahawa membeli makanan berlebihan bukan sahaja menjejas kesihatan, malah menjejas sekitaran kerana makanan yang tidak dihabiskan biasanya dibuang begitu sahaja," ujar Ustaz Muhd Ridzwan, pengerusi Jawatankuasa Sihat dan Hijau - sebahagian Jawatankuasa Sentuhan Ramadan 2017 yang mengadakan pameran bergerak bagi menyebar mesej gaya hidup sihat dan cara hidup mementingkan alam sepanjang bulan ini.



Menurut perangkaan terkini daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sejumlah 791,000 tan sampah makanan dibuang di Singapura tahun lalu - seperti setiap warga membuang dua mangkuk makanan setiap hari.



Jumlah itu sekitar 10 peratus daripada jumlah sampah keseluruhan di Singapura; dan telah meningkat lebih 40 peratus dalam tempoh sedekad.



Ia dijangka terus meningkat, selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan jumlah penduduk yang bertambah.



Sejak November 2015, NEA mengadakan program bagi meningkatkan kesedaran penduduk dan syarikat berkaitan pembaziran makanan.



Program ini termasuk menghasilkan video dan iklan tentang pembaziran makanan di pelbagai media, serta panduan dalam talian bagi membantu mengelak pembaziran makanan di rumah.



Menurut jurucakap NEA, ia bercadang mengadakan tinjauan berkaitan sikap pengguna terhadap pembaziran makanan dalam tempoh setahun dua ini.



Dalam pada itu, masjid-masjid setempat telah mengorak langkah proaktif bagi Ramadan ini.



Beberapa masjid kini menyediakan makanan dalam kotak atau bento agar lebih mudah mengawal jumlah makanan yang diagihkan dan memastikan makanan tidak dibazirkan jemaah.



Menurut Ustaz Muhd Ridzwan, perkembangan ini menggalakkan dan mencerminkan kesedaran meningkat pada isu pembaziran makanan.



"Lama-kelamaan, mungkin sikap ini akan didakapi oleh masyarakat," katanya.



Laporan tambahan NUR SYAMIMI AWALLUDIN



"Pembaziran makanan amat dikesali, terutama dalam Ramadan kerana pembaziran bertentangan dengan ajaran Islam. Muslim yang baik tidak seharusnya membazir."
- Pengasas bersama FiTree, Cik Nur Khairiana Mohamad Malek.



"Sebagai Muslim, kita perlu menyambut musim perayaan dengan berpada-pada, terutama berkenaan soal makanan. Kita tidak seharusnya makan secara berlebihan. Kita perlu mengawal nafsu, bukan dikawal nafsu."
- Pengerusi Jawatankuasa Sihat dan Hijau, Sentuhan Ramadan 2017, Ustaz Muhd Ridzwan Abdul Manap.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >