Ramai ambil sikap 'tunggu dan lihat' tempahan baju Raya merosot, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Ramai ambil sikap 'tunggu dan lihat' tempahan baju Raya merosot

Mar 15, 2021 | 05:30 AM

TEMPOH ini tahun lalu, slot tempahan baju Raya beliau sudah separuh penuh.

Namun peniaga di Joo Chiat Complex, Cik Yate Ali, berkata ia lebih teruk tahun ini dan tempahannya "tidak sampai suku pun".

Bagaimanapun, pemilik butik Adelea By Yate itu masih cuba bertahan dengan memperluas busananya kepada pakaian pengantin dan mempertingkat kehadiran perniagaannya dalam talian.

Menurutnya, terdapat permintaan bagi baju pengantin namun tempahan bagi baju Hari Raya merosot dengan banyak.

Beliau menjangka mungkin orang ramai akan membeli baju siap dipakai.

Discover Malay Home Based Businesses

"Saya rasa mereka sedang tunggu dan melihat keadaan.

"Mereka tidak pasti sama ada tahun ini boleh keluar jalan Raya beramai-ramai atau tidak. Tambahan pula baju tahun lalu masih belum pakai!" ujar pereka itu.

Membandingkan keadaan tahun lalu, Cik Yate berkata biarpun Ramadan disambut dalam keadaan pemutus litar dan kedai fizikal perlu ditutup, tempahan baju Raya telah dilakukan dalam bulan-bulan sebelum itu.

Namun keadaannya berbeza tahun ini, dan peniaga seperti beliau tidak berani untuk meletakkan sebarang harapan disebabkan ketidaktentuan yang dirasakan.

Ketika ditanya tentang baju yang dijual beliau, Cik Yate berkata stok tahun lalu yang beliau telah hasilkan tidak dapat dijual, justeru beliau akan menjual koleksi tersebut dan tidak membuat baju baru.

Penolong pemilik Salmah Manap Bridal Boutique, Cik Manisah Manap, 47 tahun, turut berkata stok baju mereka dari tahun lepas masih banyak lagi.

Malah, apabila beliau menggalakkan pelanggannya membeli baju Hari Raya lebih awal, pelanggan berkata mereka masih ragu-ragu tentang sambutan hari Raya tahun ini dan akan menunggu perkembangan.

"Kami semua berharap masyarakat akan menyokong peniaga Islam tempatan dan tetap mengunjungi Joo Chiat Complex supaya kita dapat merasakan suasana Ramadan walaupun tiada bazar tahun ini," tambah Cik Manisah.

Biarpun sesetengah pelanggan memilih tidak membeli baju Hari Raya tahun ini, pelanggan suami isteri seperti Encik Haniffa Muhd Yassin, 41 tahun, dan Cik Zuhaila Md Jizan, 42 tahun, yang kedua-duanya guru, tetap bersemangat menempah baju Raya.

Malah, mereka sudah mengambil baju yang ditempah itu.

Menurut pasangan suami isteri tersebut, Hari Raya merupakan perayaan yang amat istimewa dan dinanti-nantikan keluarga mereka setiap tahun meskipun pandemik Covid-19 melanda, lantas semangat menyambut Hari Raya masih ada.

"Kami membesar dengan keadaan di mana setiap tahun kami tidak sabar untuk ke Geylang, pergi ke bazar, dan merasakan hiruk-pikuknya. Sudah lebih setahun kita tidak ada peluang itu dan kebanyakan orang membeli dalam talian, justeru kami tetap pilih untuk ke kedai fizikal untuk membeli baju Raya," ujar Encik Haniffa.

Isterinya menambah: "Membeli-belah dalam talian sama sekali tidak sama dengan bertemu secara fizikal."

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map