Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ramai belum faham Surat Kuasa Berkekalan: Masagos

Separuh hadirin sesi tentang LPA oleh Peguam@M³ dengan kerjasama Muis Sabtu lalu adalah asatizah
LPA
Jan 19, 2022 | 05:30 AM



RAMAI dalam masyarakat Melayu/Islam masih kurang faham tentang Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan apakah ia dibenarkan dalam Islam, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Melahirkan pemerhatian dan keprihatinannya semalam, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, berkata beliau mendapat maklum balas itu daripada sukarelawan guaman.



LPA ialah alat undang-undang yang membolehkan individu berusia sekurang-kurangnya 21 tahun secara sukarela melantik orang lain untuk membuat keputusan dan bertindak bagi pihaknya dalam soal kebajikan peribadi dan ehwal harta, sekiranya beliau kehilangan upaya mental, seperti demensia.



Pada Sabtu lalu, Encik Masagos singgah ke sesi LPA di Kelab Masyarakat Toa Payoh East untuk bertemu sukarelawan yang membantu sekitar 200 individu yang hadir untuk mendapatkan nasihat mengenai LPA.



Dianjurkan Peguam@M³(M Kuasa Tiga), sesi keempat itu diadakan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Sesi tersebut merupakan anjuran tiga daripada karyawan undang-undang di bawah kumpulan Peguam@M³ - Encik Imran Rahim, Encik Matin Razak dan Cik Fathiah Najwa Hassim.



Tujuannya ialah membantu asatizah memohon LPA dan mengetahui bagaimana mereka boleh menjaga orang yang mereka kasihi.



"Saya berbesar hati kerana lebih separuh yang menghadiri sesi tersebut adalah asatizah.



"Peguam@M³ telah menganjurkan sesi LPA secara pro-bono, atau percuma, di seluruh negara.



"Matlamatnya ialah untuk membimbing dan membantu individu untuk melantik orang yang mereka percaya untuk membuat keputusan hidup yang penting dan bertindak bagi pihak mereka sekiranya mereka hilang keupayaan untuk berbuat demikian kelak," jelas Encik Masagos, dalam catatan di Facebook semalam.



Berdasarkan maklum balas daripada sukarelawan guaman, ramai didapati kurang faham tentang LPA dan apakah ia dibenarkan dalam Islam.



Melalui kerjasama rapat dengan Muis, para sukarelawan berharap dapat menangani keprihatinan agama yang mungkin dirasakan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.



"Pada masa yang sama, mereka mahu menggalakkan lebih ramai orang memohon LPA," tambah Encik Masagos.



Beliau berterima kasih kepada Peguam@M³, Muis, Persatuan Rakyat (PA) dan Pejabat Penjaga Awam (OPG) daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) atas sokongan mereka.



Mereka yang berminat mendapatkan LPA, boleh mengikuti sesi selanjutnya di https://m3lawyers.sg




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >