PELAJAR yang sudah mendaftar bagi vaksinasi Covid-19 mula pergi ke pusat vaksinasi serata Singapura sejak pagi semalam untuk menerima suntikan mereka.
Semalam hari pertama program vaksinasi Covid-19 bagi lebih 400,000 pelajar berusia 12 tahun dan ke atas, dengan keutamaan diberi kepada kohort pelajar yang menduduki peperiksaan nasional GCE peringkat 'N', 'O' dan 'A' tahun ini.
Antara pelajar yang tampil di pusat vaksinasi di Kelab Masyarakat Bishan untuk mengambil suntikannya ialah Lu'lu Aliesha Samion, 15 tahun, pelajar menengah empat Sekolah Menengah Xinmin.
"Apabila saya mendapat tahu saya boleh menerima vaksin ini, saya tidak ragu-ragu untuk mendaftarkan diri," ujarnya.
"Saya mahu mengambil vaksin pada hari pertama kerana saya akan menduduki peperiksaan lisan pada Julai dan tidak mahu dos kedua menjejas kebolehan saya menduduki peperiksaan dengan baik."
Pelajar yang bakal menduduki peperiksaan GCE peringkat 'O' itu ditemani ibunya, Cik Sabariah Mohd Noor.
Cik Sabariah, seorang guru kelas tambahan sambilan, menggesa ibu bapa lain supaya jangan berlengah untuk mendaftarkan anak mereka bagi menjalani vaksinasi.
"Saya rasa ibu bapa tidak perlu bimbang dan harus terus mendaftarkan anak mereka bagi vaksinasi. Vaksin ini tidak akan mendatangkan apa-apa kemudaratan.
"Jadi, ia bagus untuk anak-anak, lebih-lebih lagi yang akan menduduki peperiksaan peringkat 'O' yang akan datang," katanya.
Pengetua sekolah yang dihubungi Berita Harian semalam mengalu-alukan langkah pemerintah mempercepatkan program vaksinasi Covid-19 bagi pelajar.
Pengetua Sekolah Menengah Queenstown, Cik Rasidah Rahim, berkata langkah itu baik kerana "ia dapat mempertingkatkan lagi keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak mereka mereka ke sekolah".
"Sebagai guru kami tahu bahawa pengajaran secara bersemuka amat penting. Walaupun sekarang ramai pelajar belajar secara dalam talian semasa HBL (pembelajaran dari rumah), ia agak terhad.
"(Pembelajaran) secara bersemuka ada kebaikannya. Jadi kalau kedua-duanya dapat dijalankan dengan baik, pastinya ia akan dapat meningkatkan lagi pengalaman pembelajaran pelajar," kata beliau.
Sejak 19 Mei, sekolah beralih daripada kelas fizikal ke pembelajaran dari rumah sepenuhnya disebabkan lonjakan kes Covid-19 di sini.
Pelajar kini sedang cuti sekolah selama sebulan, sejak 29 Mei.
Menurut Cik Rasidah, sebahagian besar daripada 320 pelajarnya yang bakal menduduki peperiksaan GCE peringkat 'N' dan 'O' telah mendaftar bagi mengambil suntikan vaksin.
Di Sekolah Rendah Punggol Green, bahan rujukan disediakan di laman web sekolah itu bagi menjelaskan kepada ibu bapa mengenai vaksinasi Covid-19 dan menenangkan sebarang kegelisahan mereka.
Guru yang mengajar kelas kohort Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) di sekolah itu juga mendorong murid supaya mengambil vaksin sekiranya layak.
Menurut pengetua sekolah itu, Encik Hanafi Asmore, pendaftaran vaksinasi bagi murid PSLE belum dibuka.
Sekolah itu mempunyai 239 pelajar yang bakal mengambil peperiksaan nasional itu tahun ini.
"Jika diberi peluang mengambil vaksin, ibu bapa tidak perlu ragu mengenai keberkesanannya dan tidak perlu ragu apakah ia akan memudaratkan anak mereka kerana kajian telah dijalankan (dan menunjukkan ia selamat).
"Dalam pada itu, saya juga mahu menggalak mereka (ibu bapa) supaya mengambil vaksin kerana ia dapat membantu melindungi anak-anak dan keluarga mereka," ujar Encik Hanafi.
- Laporan tambahan NUR HUMAIRA SAJAT
"Jika diberi peluang mengambil vaksin, ibu bapa tidak perlu ragu mengenai keberkesanannya dan tidak perlu ragu apakah ia akan memudaratkan anak mereka kerana kajian telah dijalankan (dan menunjukkan ia selamat)."
- Encik Hanafi Asmore, pengetua Sekolah Rendah Punggol Green.