RAMAI pembimbing Skim Tuisyen Mendaki (MTS) menyumbang masa tambahan di luar bilik darjah demi meningkatkan prestasi para pelajar di bawah bimbingan mereka serta memberi mereka lebih motivasi dan galakan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia).
Justeru, Yayasan Mendaki percaya usaha para pembimbing MTS harus diberi insentif sewajarnya, menurut Encik Zaqy yang juga timbalan pengerusi yayasan itu.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada Berita Harian (BH) mengenai langkah Yayasan Mendaki baru-baru ini yang mengalihkan pendekatan mereka untuk memberi lebih tumpuan terhadap prestasi.
Baru-baru ini, Encik Zaqy telah mengumumkan bahawa pertubuhan Melayu/Islam itu akan memberi insentif kewangan antara $300 dengan $1,200 setiap tahun mulai 1 Januari tahun depan kepada tutor yang berupaya menggalak pelajar mereka menghadiri kelas MTS secara konsisten serta mencapai keputusan yang baik dalam pelajaran mereka.
Ini di samping kenaikan elaun bagi tutor MTS sebanyak 20 peratus daripada $50 sejam kepada $60 sejam.
Penambahan gaji dan insentif itu bertujuan menggalak para tutor mengekalkan kehadiran pelajar dalam bilik darjah dengan baik, kata Encik Zaqy.
Encik Zaqy berkata ketika beliau mendekati tutor MTS, terdapat ramai tutor yang telah mendidik pelajar yang sama sepanjang tempoh yang berpanjangan, lantas membolehkan mereka membina hubungan rapat bersama pelajar mereka.
Tutor MTS memainkan peranan yang penting dalam kehidupan pelajar, dan meninggalkan kesan ke atas kebajikan emosional serta pembangunan holistik pelajar, kata Encik Zaqy.
"Lantaran ini, Mendaki akan melabur lebih untuk mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada para tutor kami termasuk mereka yang telah melakukan lebih daripada yang diperlukan (untuk pelajar mereka)," katanya ketika acara penyampaian Anugerah Tutor Mendaki baru-baru ini.
Lebih suku juta pelajar telah meraih manfaat menerusi MTS yang diperkenal sebagai program utama Yayasan Mendaki sejak 1982.
Menurut Encik Zaqy, disebabkan permintaan tinggi, Mendaki juga telah merekrut tambahan 100 tutor tahun ini untuk melaksanakan kelas secara dalam talian menerusi pusat maya MTS.
Tujuh pusat alam maya yang disediakan tahun ini menawarkan tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.