Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rancang masa depan, terus jaga kepentingan jangka pendek: PM Lee

Warga tua dan muda perlu cuba fahami sudut pandangan satu sama lain meski keprihatinan mereka kini berbeza
Sep 05, 2019 | 05:30 AM



ISU perubahan iklim lebih dekat di hati warga Singapura yang lebih muda, sementara warga berusia lebih prihatin soal ekonomi dan perubahan pada usia persaraan dan bekerja semula, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berdasarkan maklum balas awam menyusuli Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau bulan lalu.



Perbezaan itu boleh difahami, kata Encik Lee, tetapi kededua kumpulan itu serta warga Singapura yang lain perlu cuba memahami sudut pandang satu sama lain, kerana isu-isu tersebut turut menjejas mereka atau anggota keluarga mereka di peringkat hidup berbeza-beza.



"Orang muda akan menua, dan mungkin di masa hadapan, minat dan sudut pandang anda akan kian hampir dengan pendapat ibu bapa anda.



"Pada masa yang sama, orang yang lebih tua perlu prihatin terhadap masa depan juga, dan isu-isu jangka lebih panjang, kerana ia menjejas dunia yang didiami anak-anak dan cucu-cucu mereka," kata Encik Lee.



Menurut Encik Lee pendekatan pemerintah Singapura adalah untuk merancang bagi masa hadapan, walau terus menjaga kepentingan jangka pendek.



"Tidak banyak negara atau pemerintah lain di dunia yang berbuat demikian, tetapi kami cuba sedaya upaya berbuat begitu," kata Encik Lee.



Beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada sekitar 500 peserta di Forum Menteri Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) sulung semalam.



Encik Lee juga berkongsi tentang topik yang diberi tumpuan olehnya di NDR 2019, termasuk langkah menjadikan pendidikan lebih dimampui di peringkat prasekolah dan posmenengah bagi golongan yang memerlukan, usaha membantu warga Singapura untuk terus bekerja dan projek membangun semula kawasan persisiran di Selatan negara.



Menyentuh tiga mesej utama yang ditekankan di NDR 2019, Encik Lee berkata, selain merancang bagi masa hadapan, pemerintah Singapura tidak akan membiarkan warganya tidak mendapat pendidikan semata-mata kerana kekurangan wang.



Ia juga akan melaksanakan setiap perkara yang dikatakannya.



Selepas menyampaikan ucapannya, Encik Lee menyertai forum bertajuk The Role of Education atau Peranan Pendidikan, di mana beliau menjawab soalan berhubung pelbagai topik - daripada kesan teknologi blockhain ke atas pekerjaan ke usaha menggalak warga melahirkan lebih banyak bayi.



Menjawab soalan tentang rancangan Singapura membelanjakan sekitar $100 bilion dalam tempoh 100 tahun bagi menambah perlindungan terhadap kesan perubahan iklim - yang diumumkan Encik Lee di NDR 2019 - walau beberapa negara lebih besar bak tidak mengendahkan masalah itu, beliau berkata Singapura perlu memainkan peranan sebagai warga dunia yang baik dan untuk melindungi dirinya sendiri.



Kata Encik Lee, walau Singapura tidak mampu memaksa negara lain untuk bertindak, ia tetap boleh bersuara bagi mengetengahkan peranan yang dimainkannya.



"Justeru, kita perlu (bertindak) untuk mempertahankan diri kita sendiri," kata Encik Lee.



Dalam pada itu, menjawab soalan tentang cara pemerintah mengimbangi usaha mengekalkan bakat setempat di Singapura dengan memupuk bakat yang mampu bersaing di peringkat dunia, Encik Lee berkata warga Singapura yang bekerja di luar negara berpeluang meluaskan pandangan dan pengalaman.



Justeru, apabila mereka kembali ke Singapura, mereka boleh memberi sumbangan lebih bermakna kepada negara.



Dalam ucapannya, Presiden SUSS, Profesor Cheong Hee Kiat berkata sejak dinamakan semula sebagai SUSS, adalah jelas universiti itu bermatlamat untuk memupuk pelajar dan kakitangan yang berjiwa rakyat dan mahu berkhidmat kepada masyarakat.



SUSS dinamakan sebagai universiti keenam Singapura pada 2017.



Sebelum itu, ia dikenali sebagai Universiti SIM.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >