TARIKAN terkini di Muzium Sejarah Semula Jadi Chian Lee Kong - rangka ikan paus yang ditemui terapung di perairan Singapura dekat Jurong - mula dipamer pada Selasa (15 Mac).
Pelawat boleh melihat rangka itu dari dekat, "mata bertemu mata" - ia dipapar dalam gaya sedang menyelam dengan tengkoraknya hanya satu meter dari lantai.
Ini tidak seperti kebanyakan rangka ikan paus muzium yang biasanya digantung mendatar berhampiran siling.
"Kami mahu memberi ikan paus itu gaya semula jadi dalam ruang terhad," kata pemulihara Kate Pocklington, salah seorang daripada lima penyelidik di muzium itu yang terlibat dalam memelihara rangka tersebut.
Rangka ikan paus sperma betina dewasa itu dipamer dalam seksyen mamalia di muzium di University Nasional Sinbgapura (NUS).
Bangkai ikan paus sepanjang 10.6 meter itu ditemui terapung di luar Pulau Jurong pada 10 Julai tahun lalu - kali pertama mamalia marin dikesan di perairan Singapura.
Saintis muzium itu mengatakan ia mungkin mati selepas dilanggar kapal, kerana punggung dorsalnya mempunyai kesan luka besar.
Tulang belakangnya juga didapati patah.
Ia digelar Jubi Lee oleh kakitangan muzium itu, kerana ia ditemui pada tahun Jubli Emas Singapura.
Ketua muzium tersebut, Profesor Peter Ng, memberitahu akhbar The Straits Times jarang rangka ikan paus dapat dipelihara dan dipasang semula dalam masa hanya lapan bulan.
"Di kebanyakan negara, bangkainya ditanam, dibiarkan reput, dan hanya selepas beberapa tahun ia digali... Kami telah dipercepat proses menerusi kerja keras - pencapaian mengagumkan."
Muzium itu mengumpulkan sekitar $1.3 juta bagi usaha saintifik dan pendidikan berkaitan bangkai ikan paus sperma itu. Separuh daripada wang itu digunakan bagi menubuhkan pameran tersebut, manakala separuh lagi akan digunakan untuk pendidikan dan penyelidikan biodiversiti marin.
Selain mengagumi saiz Jubi Lee, pengunjung boleh mempelajari lebih lanjut mengenai biologinya, ancaman yang dihadapinya, dan bagaimana ia ditemui.
Cawan plastik dan beg yang dijumpai di dalam ususnya, sebagai contoh, akan juga dipamerkan.
Muzium sejarah semula jadi di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu dibuka April lalu.
Tiket masuk ke muzium itu berharga $16 bagi warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) dewasa dan $9 bagi kanak-kanak dan warga emas.