Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rangkaian 10 badan selaras bantuan bagi banduan, keluarga

Dec 20, 2020 | 05:30 AM



LEBIH 10 pertubuhan Melayu akan dihimpunkan dalam rangkaian penyediaan sokongan menyeluruh buat banduan, bekas banduan dan keluarga mereka.



Antara pertubuhan yang terlibat ialah Yayasan Mendaki yang menampilkan usaha Keluarga Akrab (FEC); Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra); dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang menampilkan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah).



Turut dihimpunkan ialah Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), AMP, Khidmat Kaunseling Muslim (MCS) dan Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) berserta program masing-masing.



Rangkaian tersebut, yang diterajui Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara) Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, akan berkhidmat di bawah bidang tumpuan (FA) kedua M Kuasa Tiga (M³) yakni membantu keluarga dan individu berisiko (FA2).



Beliau mengumumkan penubuhan rangkaian tersebut di majlis terakhir kohort kedua FEC di Woodlands Square semalam.



"Rangkaian ini boleh meningkatkan kerjasama antara pertubuhan dan membantu mereka supaya saling mengetahui jenis bantuan yang sudah dihulurkan kepada penerima.



"Usaha ini juga diharap mampu memperbaiki keberkesanan cara pertubuhan demikian berinteraksi dan saling berkongsi amalan terbaik.



"Di samping itu, wadah ini dijangka menjadi perkumpulan amalan dalam pelbagai bidang untuk memberi sokongan kepada golongan memerlukan," ujar Dr Faishal, yang turut mengendalikan FA1 M³ berkenaan perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak.



Dalam majlis FEC semalam, peserta menunjukkan Dr Faishal rajah Pohon Kehidupan yang dilakar bagi melambangkan pelbagai tahap kehidupan.



Misalnya bahagian akar melambangkan kehidupan, kepercayaan dan nilai yang dipegang manakala dahan menunjukkan cita-cita.



Menurut kenyataan Mendaki, FEC merupakan wadah bagi keluarga banduan dan bekas banduan menjalinkan rangkaian serta berkongsi cabaran yang dihadapi dan ilmu yang diperolehi.



Setiap kohort hanya dianggotai maksimum enam individu agar bantuan sepenuhnya mampu diberi.



Sebagai penutup majlis, Dr Faishal memberikan tanda mata berupa tumbuhan kecil yang berbunga persis Pohon Kehidupan kepada peserta.



Peserta kohort kedua FEC, Cik Rohani Che Samsudin, 55 tahun, menggalakkan kaum wanita supaya menyertai program itu.



Anaknya Karim (bukan nama sebenar) merupakan bekas banduan yang dipenjarakan selama setahun dari Disember tahun lalu atas kesalahan bersubahat dengan tailong.



"Kita tidak sendirian dalam menghadapi masalah malah ada yang mengalami masalah lebih besar daripada kita. Saya rasa lega berada dalam FEC kerana kumpulan ini tempat selamat bagi kita menzahirkan perasaan.



"Sebagai wanita, ibu dan isteri, kita tak boleh jadi katak bawah tempurung dan tidak meluahkan masalah. Nanti kita akan jadi lebih tertekan. Jangan khuatir. Di Singapura, kita ada tempat sebegini untuk berkongsi perasaan. Jangan pendam masalah," ujarnya.



Setakat ini, Mendaki sudah menjalankan tiga FEC di bawah FA2 yang memberi manfaat kepada 30 keluarga merangkumi 39 ibu bapa dan 93 kanak-kanak.



Tahun ini, FA2 secara keseluruhannya menerima 399 kes daripada enam agensi. 91 peratus kes melibatkan isteri banduan.



Contoh bantuan yang diberi ialah pendidikan prasekolah, program keibubapaan, makanan, akhbar, kelas agama dan bantuan pekerjaan Mendaki Sense.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >