SEBUAH rangkaian karaoke utama di Singapura telah memutuskan untuk menutup semua lapan cawangannya di sini bulan ini.
Manekineko, yang terkenal dengan bilik yang berwarna-warni dan bergaya, membuat pengumuman tersebut dalam satu catatan di Facebook Rabu lalu.
Dalam catatan tersebut, pihak pengurusan Manekineko berkata:
"Karaoke Manekineko ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang memberi sokongan kepada kami.
"Ini bukan selamat tinggal; ia sampai kita bertemu lagi."
Cawangan-cawangannya terletak di Cineleisure, *Scape, Bugis+, Marina Square, Lucky Chinatown, Safra Punggol, Safra Jurong and Tampines 1.
Manekineko merupakan salah satu daripada rangkaian karaoke terbesar di Jepun, dengan lebih daripada 500 cawangan di sana, menurut laman web Koshidaka Singapore, yang mengendalikan jenama itu di sini, lapor The Straits Times (ST).
Syarikat itu juga melancarkan K Suites, yang berkonsepkan suite yang mewah dan luas di Hotel Orchard Rendezvous, dan restoran dan bar bufet Bistro 8 di Cineleisure.
Kedua-dua K Suites dan Bistro 8 juga telah ditutup secara kekal.
Encik Akira Zama, 48 tahun, ketua eksekutif Koshidaka Singapura, mengatakan semua cawangan Manekineko tidak beroperasi sejak pemutus litar pada April tahun lalu.
"Kami tidak diberi prospek untuk memulakan kembali perniagaan karaoke kami. Itulah sebabnya kami memutuskan untuk menutup semua cawangan Manekineko di Singapura untuk memberi tumpuan kepada sumber daya kami yang terbatas pada negara lain.
"Negara-negara lain telah membenarkan perniagaan karaoke keluarga untuk disambung semula pada waktu tertentu, berdasarkan situasi Covid-19 mereka.
"Tetapi, sayangnya, kami tidak dapat melakukan apa-apa di Singapura. Secara jujur, kami kecewa mengapa kami tidak dibenarkan untuk menjalankan semula perniagaan karaoke keluarga kami selama 14 bulan ini, walaupun terdapat beberapa tempoh ketika keadaan kesihatan awam stabil."
Semua kakitangan di gerai Manekineko telah diberhentikan, tambahnya.
"Kami sangat menghargai pelanggan yang telah menyokong kami dan memberi kami kata-kata yang baik walaupun ditutup. Mungkin bukan dalam masa akan datang, tetapi kami berharap dapat kembali ke Singapura apabila kami mempunyai kesempatan."