Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rangkaian penghubung taman Changi Bay jadi tumpuan hari cuti CNY

Feb 03, 2022 | 05:30 AM



ORANG ramai tidak melepaskan peluang meneroka rangkaian penghubung taman (PCN) Changi Bay yang dibuka baru-baru ini sempena cuti Tahun Baru Cina (CNY) semalam dan kelmarin.



Mereka dilihat berjalan kaki, berlari anak atau berbasikal dengan ahli keluarga serta rakan di laluan itu, sama ada bermula dari permulaan PCN tersebut berdekatan Terminal Feri Changi atau bersambung dari PCN lain.



Cik Ruhata Ibrahim antara yang mengambil kesempatan mengunjungi PCN itu semalam.



Beliau mengayuh basikal ke PCN Changi Bay itu bersama suaminya dari kediaman mereka di Tampines.



Mereka mula mengayuh basikal dari 8 pagi dan turut disertai dua rakan mereka.



"Pemandangan di sepanjang laluan ini memang cantik dan ada banyak tempat yang sesuai untuk bergambar. Ada juga tempat duduk untuk berehat dan menikmati pemandangan dan ada mesin layan diri menjual minuman serta ada juga tandas yang disediakan. Ada banyak bunga dan tanaman yang menarik di laluan ini dan saya rasa saya akan kembali berbasikal di sini, cuma bukan pada hari cuti bagi mengelakkan keadaan sesak dan orang ramai," kata guru sambilan berusia 55 tahun itu.



Cik Hikmah Mamat bersama suami dan tiga anaknya juga telah mengunjungi PCN itu.



Keluarga yang menetap di Cantonment Road itu meninggalkan kereta mereka di tempat letak kereta dekat Terminal Feri Changi dan berjalan kaki ke permulaan PCN itu.



Mereka kemudian sambung berjalan selama sekitar 15 minit sebelum berehat di salah satu pondok yang disediakan.



"Ini kali pertama kami ke sini. Kami cuma mahu melihat tempat baru ini setelah mendapat tahu tentang pembukaannya melalui laporan berita dan rakan-rakan kerja," kata Cik Hikmah, 43 tahun yang bertugas sebagai pengurus kewangan.



"PCN ini cantik cuma agak panas bagi orang yang berjalan kaki. Saya rasa mereka yang berbasikal lebih seronok kerana ada angin. Mungkin lain kali kami bawa basikal ke sini," tambahnya.



Cik Hikmah berkata antara tarikan laluan PCN itu ialah pemandangannya yang indah serta jaraknya yang dekat kepada laut.



"Biasanya kita perlu ke pantai untuk berada begini dekat dengan laut. Tetapi saya rasa ini antara laluan berbasikal dan pejalan kaki yang paling dekat dengan air," katanya.



PCN Changi Bay adalah sebahagian daripada separuh pertama Laluan Keliling Pulau yang dibuka oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 22 Januari lalu.



Koridor hijau sepanjang 75 kilometer itu mengelilingi bahagian timur Singapura, bermula dari Rower's Bay Park di Seletar hingga ke Berlayar Creek berhampiran Taman Labrador.



Apabila baki separuhnya siap menjelang 2035, Laluan Keliling Pulau itu akan menjadi laluan penghubung riadah terpanjang di sekeliling pulau.



Idea laluan keliling pulau yang membolehkan orang ramai berjalan, berbasikal atau berlari anak lebih dekat kepada pantai Singapura dicadangkan oleh Penguasa Pembangunan Semula (URA) pada 2008.



Cik Suzana Hamid, 47 tahun, turut tidak melepaskan peluang mengajak suami dan anak bersama dua kakaknya untuk meneroka PCN Changi Bay semalam.



"Kami memang suka melakukan kegiatan berjalan kaki pada hujung minggu dan biasa ke East Coast Park atau Pulau Coney. Apabila mendapat tahu tentang laluan baru ini, kami tidak sabar untuk menerokanya dan melihat pemandangan di sini," kata Cik Suzana yang bertugas sebagai eksekutif pentadbiran.



"Kami gembira dengan pemandangan di sini yang cukup indah dan suasananya yang tenang. Kami sukakan alam semula jadi dan seronok kini ada tempat baru untuk kami teroka," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >