JINDO (Korea Selatan): Usaha besarbesaran mencari sekitar 300 penumpang, kebanyakannya pelajar, yang 'hilang' di perairan Korea Selatan masuk hari kedua semalam, sedang sanak saudara yang kebingungan dan marah terus berada di kawasan tepi pantai.
Sekitar sembilan orang dilaporkan terkorban, sementara 287 yang lain masih hilang.
Angin kencang dan ombak kuat dikatakan mengganggu operasi dengan pasukan penyelam sedang berusaha mencari mereka yang mungkin terperangkap di bahagian feri berudara.
Feri yang membawa 459 penumpang dan kru itu dalam perjalanan menuju ke Pulau Jeju bagi tujuan lawatan sekolah dengan hampir kesemua penumpang pelajar sekolah menengah bersama 14 guru mereka.
Ibu bapa pelajar menuduh pasukan penyelamat lambat bertindak menyelamatkan anak-anak mereka, manakala pemerintah lambat kongsi maklumat.
Masih belum jelas bagaimana feri itu tenggelam. - Reuters, AFP.
Ucapan takziah PM Lee
Presiden Park yang dihormati,
Saya amat sedih apabila mengetahui feri penumpang Sewol telah tenggelam. Ia amat menyayat hati kerana ramai penumpang merupakan pelajar muda, yang lawatan mereka ke resort berakhir secara tragik.
Bagi pihak Pemerintah dan rakyat Singapura, saya rakamkan salam takziah dan simpati kepada keluarga mangsa. Ingatan kami bersama anda dan rakyat anda dalam masa sedih ini.
Yang ikhlas, Lee Hsien Loong.