Razer mohon jadi bank digital penuh

SYARIKAT perkakas mainan setempat, Razer, telah membuat permohonan bagi lesen bank digital sepenuhnya.

Ini menyusuli pengumuman awal minggu ini bahawa syarikat Singtel dan Grab secara bersama sedang membuat taruhan bagi lesen bank digital penuh itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini (2 Jan), Razer berkata sayap teknologi kewangannya (fintech) akan membangunkan Razer Youth Bank sekiranya mereka mendapat kelulusan daripada Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

Permohonan itu telah dikemukakan sebelum 31 Disember lalu, hari terakhir bagi syarikat memohon untuk mendapatkan lesen bank digital sepenuhnya.

Jun lalu, MAS berkata mereka akan memberi sehingga lima lesen bank digital baru – dua lesen bagi bank digital sepenuhnya dan tiga lesen bagi bank borong – kepada syarikat yang tidak mempunyai rekod mantap dalam perbankan.

Bank borong menyediakan khidmat buat syarikat, termasuk syarikat kecil dan sederhana.

Langkah Razer memasuki sektor perbankan itu adalah menerusi sebuah konsortium yang merangkumi rangkaian pasar raya Sheng Siong, syarikat teknologi LinkSure Global, wadah jual beli automotif Carro, firma khidmat insurans FWD serta Insignia Ventures Partners.

Razer yang memiliki 60 peratus taruhan dalam konsortium itu berkata bank digital mereka akan beribu pejabat di Singapura dan menyasarkan golongan milenial dan belia.

Mereka juga akan menyasarkan usahawan baru serta perusahaan kecil dan mikro yang sukar mendapatkan modal.