PENDUDUK Punggol hanya perlu mengosongkan botol PET (polyethylene terephthalate) mereka dan tidak perlu mencucinya sebelum meletakkannya di tempat pengumpulan bahan kitar semula.
Ini adalah satu daya usaha bagi meningkatkan kadar kitar semula untuk botol PET di estet Punggol.
Daya usaha itu, yang dipanggil Rebottle, juga bertujuan menurunkan kadar pencemaran sisa di Punggol sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang tempoh akhir tiga bulan.
Rebottle telah dilancarkan oleh syarikat pengurusan sisa SembWaste dan Politeknik Singapura (SP) di Blok 125, Edgedale Plains baru-baru ini dengan Cik Yeo Wan Ling, Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol sebagai tetamu terhormat.
Pembungkusan, termasuk plastik, adalah salah satu daripada tiga aliran sisa utama di estet Punggol - dua lagi adalah sisa elektronik dan makanan.
Langkah melaksanakan daya usaha itu timbul selepas SembWaste mendapati sekitar 52 peratus bahan yang dikumpul di tong biru kitar semula di estet Punggol Coral telah tercemar atau tidak sesuai untuk dikitar semula.
Hanya 1 peratus daripada sisa adalah botol PET yang boleh dikitar semula, walaupun ramai orang menggunakan botol sedemikian.
"Kami menyangka bahawa kadar kitar semula lebih tinggi kerana kita semua menggunakan botol PET, ia adalah perkara biasa dalam kehidupan kita sama ada membawa botol untuk minum atau apabila membeli minuman," kata Ketua Eksekutif SembWaste Encik Lee Kok Kin.
Di seluruh Singapura, pencemaran telah menjadi penghalang untuk meningkatkan kadar kitar semula - yang kekal pada 13 peratus pada 2021.
Ini kerana kandungan yang terdapat dalam tong sedemikian tidak boleh dikitar semula ekoran kebocoran dan sisa yang ditemui merupakan sisa elektronik dan styrofoam.
Rebottle adalah sebahagian daripada projek oleh SembWaste dan Majlis Sekitaran Singapura.
Ia khusus untuk mengenal pasti kaedah jejak karbon yang paling berkesan dari segi kos untuk dikitar semula melalui aliran sisa yang berasingan, dan bukannya mencampurkannya dalam satu tong.
Usaha mengumpulkan bahan sisa akan turut dipermudah bagi SembWaste, yang akan dimaklumkan setiap kali salah satu tempat pengumpulan sisa mencapai 300 botol.
Ini kerana sangkar pasar raya yang diguna semula sebagai tong, telah dipasang dengan teknologi Internet Benda (Internet of Things atau IoT) yang menyediakan data pengumpulan bahan sisa mengikut masa nyata.
Sangkar itu ditempatkan di 10 blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam estet Punggol Coral, dalam pasar raya Prime dan Ang Mo di Punggol Shore, serta pasar raya Sheng Siong di Punggol Central.
Reka bentuk dan tempat pengumpulan Rebottle telah dibangunkan oleh lima pelajar sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik SP serta sekolah Media, Seni dan Reka Bentuk.
"Sesetengah penduduk berat hati untuk mengitar semula kerana berasakan bahawa mencuci botol akan meningkatkan bil air mereka.
"Tetapi SembWaste memberitahu kami bahawa penduduk hanya perlu mengosongkan botol mereka kerana sisa tersebut dicuci selepas kutipan," kata pelajar tahun dua dari SP yang berusia 19 tahun, Aishah Mohamad Kusnan.
Setiap sangkar juga direka bentuk supaya ia dapat menahan berat botol yang mengandungi cecair sekiranya ada yang terlupa mengosongkannya, kata Peh Jun Xiang, pelajar berusia 19 tahun dalam bidang kejuruteraan komputer, yang membantu membina tempat pengumpulan bahan kitar semula itu.
Di akhir daya usaha itu, isi rumah dari 10 blok di Punggol Coral yang menyertainya berpeluang memenangi baucar ganjaran $10 jika blok mereka mengitar semula jumlah botol paling banyak.
Penduduk berkata mereka tidak sabar untuk mempunyai tempat pengumpulan bahan kitar semula di blok mereka.