KONSERT amal President's Star Charity (PSC) mengumpul jumlah rekod $13,085,960 pada akhir pertunjukan itu malam kelmarin.
Kutipan tersebut lebih tinggi daripada $10,902,409 yang dikumpul tahun lalu, menurut penerbit acara itu, Mediacorp.
Konsert amal itu adalah acara tahunan mengumpul dana di bawah Cabaran Presiden, iaitu kempen tahunan yang dimulakan pada 2000 oleh presiden ketika itu, Encik S R Nathan, untuk menyokong sektor perkhidmatan sosial.
Bertemakan Tindakan Kecil, Perubahan Besar, rancangan itu dihoskan Kym Ng dan Steven Chia.
Rancangan tahun ini menampilkan penyanyi tempatan pemenang dan naib juara Singapore Idol 2004, Taufik Batisah dan Sylvester Sim; penyanyi dan penulis warga Britain Ellie Goulding; bintang pop Taiwan Eric Chou; serta penyanyi dan penulis lagu Malaysia, Aina Abdul.
Ia juga menghidangkan persembahan oleh pelajar yang mengalami kecacatan intelek ringan daripada Kumpulan Seni Circus Sekolah Delta Senior (APSN), D'Circulus, bersama artis Zoe Tay, Elvin Ng dan Richie Koh; persembahan tarian bungee oleh artis tempatan popular seperti Azura Goh dan Gunalan Morgan; dan nyanyian lagu Fight Song oleh pemenang dan finalis SPOP! Wave bersama pelajar berkeperluan khas daripada Program Pembuatan Muzik Starlight oleh Voices of Singapore.
Malah tetamu kehormat, Presiden Halimah Yacob, dan suami beliau, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, turut menyertai aksi tersebut dengan menyanyikan lagu tema PSC, Believe, diiringi West Winds.
Mengulas tentang sokongan yang diberikan masyarakat kepada usaha mengumpul dana itu, Puan Halimah melahirkan rasa gembira ramai tampil membantu mereka yang memerlukan.
"Kita dapat lihat ramai orang datang untuk membantu dari segi sumbangan wang dan tenaga.
"Saya berharap ini akan berterusan kerana kita ingin membina sebuah masyarakat inklusif, di mana semua berasa mereka mempunyai keupayaan menyumbang dari apa sahaja yang mereka mampu.
"Dengan cara ini kita dapat sama-sama mencapai kehidupan lebih baik bagi semua yang memerlukan," kata beliau.
Puan Halimah turut berharap sokongan masyarakat dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui agensi yang disokong Cabaran Presiden.
"Saya berharap ia dapat membina hidup mereka, memberi keyakinan kepada kehidupan mereka dan dapat melihat perubahan positif dan baik bagi mereka dan anak-anak mereka," ujarnya.
Menggesa warga Singapura supaya menyokong usaha Cabaran Presiden di laman Facebook pula, beliau berkata:
"Dana yang dikumpul untuk Cabaran Presiden 2022 akan membantu 82 agensi yang memberi manfaat menyediakan penjagaan dan sokongan bagi pelbagai matlamat murni, daripada kanak-kanak dan keluarga berisiko kepada warga emas dan orang kurang upaya."
Orang ramai masih boleh menderma kepada PSC 2022 hingga 11.59 malam pada 6 November, melalui laman giving.sg/psc2022 atau imbasan kod QR PayNow dari laman tersebut.