REKOD tertinggi lebih 25,000 kes Covid-19 dilaporkan pada Selasa, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Jumlah kes tertinggi yang direkodkan sebelum ini ialah 19,420 kes pada 15 Februari.
Walaupun bilangan pesakit yang memerlukan suplemen oksigen dan penjagaan unit rawatan rapi (ICU) tidak tinggi, terdapat lonjakan bagi permintaan untuk katil hospital. Kebanyakannya bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik untuk pulih, kata MOH.
Ia menambah bahawa ramai pesakit telah pergi ke hospital, poliklinik dan klinik biasa dengan mengalami simptom ringan atau tiada simptom untuk mendapatkan ujian pantas antigen (ART) yang dijalankan oleh profesional perubatan dan didokumenkan dalam rekod MOH. Mereka juga meminta sijil perubatan.
MOH berkata: "Ini telah menambah beban kerja yang ketara kepada penyedia penjagaan kesihatan kami yang sudah berada di bawah tekanan yang ketara."
Ia menegaskan bahawa melainkan orang awam yang mengalami kecemasan, mereka tidak seharusnya tergesa-gesa ke jabatan kecemasan hospital.
Pesakit, termasuk kanak-kanak, yang masuk ke jabatan kecemasan dengan keadaan bukan kecemasan boleh dialihkan ke klinik penjagaan segera atau klinik penjagaan lain untuk penilaian lanjut, tambah kementerian itu.
MOH berkata: "Kami memohon usaha berterusan dan kerjasama semua orang untuk memelihara sumber perubatan kami bagi mereka yang paling memerlukannya".
Dalam pada itu, cuti sakit bagi pekerja penjagaan kesihatan boleh direkodkan sebagai cuti masuk hospital dalam beberapa hari akan datang, berikutan permintaan daripada Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan. Ini bermakna mereka tidak perlu mengambil cuti tanpa gaji sekiranya kehabisan cuti sakit.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung berkata demikian dalam nota yang ditulisnya kepada pekerja penjagaan kesihatan di hospital dan poliklinik awam pada Isnin.