Relawan dan bekas pelajar Raffles Institution terima Biasiswa Presiden

Bekas pelajar Raffles Institution yang juga seorang relawan merupakan antara empat penerima Biasiswa Presiden tahun ini.

Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, 19 tahun, menerima anugerah itu daripada Presiden Halimah Yacob dalam majlis khas di Istana semalam.

Beliau mendapat gred A bagi semua tujuh subjek yang diambilnya di peperiksaan GCE peringkat ‘A’ dan telah diterima menyertai program Sastera Bebas atau Liberal Arts di Universiti Standford di California, Amerika Syarikat dan akan berangkat ke sana bulan depan. Program itu merangkumi pelbagai bidang seni dan sains kemanusiaan seperti sejarah, ilmu alam dan politik sains.

Bercakap kepada Berita Harian (BH) dalam wawancara khas, Encik Muhammad Dhafer, yang mengajar secara sukarela di Rumah Tumpangan Kanak-Kanak Pertapis, berkata beliau berbesar hati menerima biasiswa itu dan berazam untuk terus memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Ramai belia dan anggota masyarakat lain juga memberi mencapai kejayaan dalam bidang masingmasing dan jika semua pihak bekerjasama, kita boleh sama-sama membangun masyarakat,” ujar Encik Dhafer.

Biasiswa Presiden dianggap sebagai biasiswa terunggul yang diberikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC).

Ia diberikan kepada pelajar yang cemerlang bukan hanya dalam akademik dan kegiatan kokurikular, malah menunjukkan kecenderungan berkhidmat bagi warga Singapura.

Penerima Melayu pertama Biasiswa Presiden ialah Encik Mohamed Ismail Ibrahim pada 1968, disusuli Encik Adil Hakeem Mohamad Rafee pada 2012.

Turut menerima Biasiswa Presiden tahun ini ialah Encik John Chua Je En dari Sekolah Anglo Chinese (Bebas), yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Sastera Bebas di Universiti Harvard; Encik Siow Mein Yeak, Yue dari Maktab Rendah Victoria yang akan menyertai program Kejuruteraaan Mekaninal di Imperial College London; dan Cik Allison Tan Sue Min dari Sekolah Seni Singapura (Sota) yang juga penerima biasiswa Angkatan Pertahanan Singapura (SAF) dan dijangka menceburi program perhubungan antarabangsa.

Dalam ucapannya, Puan Halimah melahirkan harapan agar penerima biasiswa menjadi pemimpin dan  contoh yang baik kepada warga  dan pegawai pentadbiran awam yang lain.

Beliau juga mengingatkan mereka supaya mengutamakan keperluan dan kepentingan negara dan warga.

“Ini adalah tanggungjawab berat... saya yakin anda bersedia (menyahut cabaran ini). Menerusi perkhidmatan awam, anda boleh mempertingkat kehidupan dan dunia di sekeliling anda. Namun, ganjaran lebih besar adalah pengayaan dan pengertian baru bagi hidup anda,” kata Puan Halimah.