DIA telah bergelar sukarelawan sejak lapan tahun lalu, namun semangatnya untuk berkhidmat kepada masyarakat terus membara hingga ke hari ini.
Cik Tuty Adilah Sapri terus mencari cara untuk memperbaiki kehidupan orang di sekelilingnya - walaupun sedikit demi sedikit, tetapi dengan cara yang berterusan dan bermakna.
Julai lalu, dia, yang merupakan pengerusi Majlis Eksekutif Wanita (WEC) Kelab Masyarakat Keat Hong, telah merintis projek 'Adopt a Family' atau Ambil Keluarga Angkat bagi membantu keluarga memerlukan berdikari.
Pada peringkat permulaan, projek itu diusahakan dia dan seorang lagi anggota WEC, dengan kerjasama Pusat Khidmat Keluarga Fei Yue, tetapi kini mereka disertai lagi empat anggota.
Mereka membantu tiga keluarga buat masa ini dengan mengunjungi mereka sebulan sekali untuk bertanya khabar dan menghulurkan bantuan dan sumbangan.
"Melalui projek ini, kami berusaha memberikan barangan kepada keluarga yang memerlukan bantuan.
"Ini kerana kami mendapat tahu bahawa ada dalam kalangan mereka mempunyai pelbagai masalah, termasuk masalah perubatan, tetapi tidak mengambil makanan yang baik-baik.
"Jadi apabila kami kunjungi mereka, kami akan bawakan susu, oat, ikan, sayur, buah dan makanan berkhasiat lain. Kami membeli barangan itu dengan menggunakan wang kami sendiri," kata Cik Tuty, 46 tahun.
Pada Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac lalu, Cik Tuty dan beberapa anggota WEC telah menghantar bakul hadiah khas untuk wanita dalam keluarga tersebut, mengandungi barangan istimewa seperti madu manuka dan Vitamin C.
Ibu empat anak itu telah menghantar barangan tersebut selepas 7.30 malam iaitu selepas waktu bekerjanya.
Cik Tuty, yang bertugas sebagai pakar khusus akuakultur, berkongsi bahawa dia mula menjadi sukarelawan setelah diajak menyertai WEC.
Ini menyusuli penyertaannya dalam kelas menari anjuran Kelab Masyarakat Keat Hong bersama salah seorang anak perempuannya.
WEC itu kini mempunyai 26 anggota tetap, 10 anggota belia dan sekitar 100 anggota ad hoc.
Malah tidak sekadar menyumbang masa dan tenaga sendiri, dia turut mengajak suami dan anak-anak untuk turut serta, hingga menjadi satu kegiatan keluarga yang mengeratkan silaturahim antara mereka.
Dua orang anaknya pernah membimbing kanak-kanak dari keluarga yang dibantu itu dalam mata pelajaran mereka buat beberapa bulan sebelum ini.
Anak bongsunya, Niki Aqisyah Asnul, 16 tahun, berkata dia telah membantu membimbing kanak-kanak darjah lima dan enam itu sementara menunggu pengajian di politeknik bermula.
"Saya telah menjadi sukarelawan bersama ibu saya sejak berusia lapan tahun.
"Sebelum ini saya biasa menolong ibu saya di acara CC (kelab masyarakat), atau mengunjungi rumah orang-orang tua.
"Saya suka melakukan kegiatan sebegini kerana saya dapat menggunakan masa lapang saya dengan melakukan sesuatu yang dapat membantu dan memanfaatkan orang lain," katanya.
"Melalui projek ini, kami berusaha memberikan barangan kepada keluarga yang memerlukan bantuan.
Ini kerana kami mendapat tahu bahawa ada dalam kalangan mereka mempunyai pelbagai masalah, termasuk masalah perubatan, tetapi tidak mengambil makanan yang baik-baik.
Jadi apabila kami kunjungi mereka, kami akan bawakan susu, oat, ikan, sayur, buah dan makanan berkhasiat lain. Kami membeli barangan itu dengan menggunakan wang kami sendiri."
- Cik Tuty Adilah Sapri, pengerusi Majlis Eksekutif Wanita (WEC) Kelab Masyarakat Keat Hong, yang merintis projek 'Adopt a Family' atau Ambil Keluarga Angkat bagi membantu keluarga memerlukan berdikari.