SEORANG belia 16 tahun rebah selepas sesi angkat berat yang dijalaninya enam hari menyusuli suntikan pertama vaksin Covid-19, Pfizer-BioNtech/Comirnaty.
Dalam satu kenyataan pada Isnin (5 Julai), Kementerian Kesihatan (MOH) berkata remaja itu kini dalam keadaan kritikal di Unit Jagaan Rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Dia menerima suntikan pertama vaksin tersebut pada 27 Jun dan dinilai pegawai jagaan kesihatan terlatih yang mengesahkan kesesuaiannya bagi vaksinasi pada ketika itu, jelas jurucakap MOH.
Remaja itu dipantau selama 30 minit menyusuli vaksinasinya dan didapati sihat pada waktu itu.
Menurut jurucakap berkenaan, remaja itu juga sihat lima hari selepas menjalani vaksinasi.
Pada 3 Julai, beliau berkunjung ke gimnasium untuk angkat berat. Jurucakap itu menambah remaja berkenaan berlatih dengan peralatan mengangkat berat (beberat) melebihi berat badannya.
Dia rebah di rumah tidak lama selepas itu dan dihantar ke jabatan kecemasan di Hospital Khoo Teck Puat yang memberitahu MOH mengenai kejadian ini.
Remaja ini kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) pada petang itu.
Jurucakap MOH menambah pihak kementerian kini sedang berhubung dengan pasukan perubatan di NUH yang menyediakan jagaan perubatan bagi pesakit ini.
"Pengenalpastian awal kondisinya adalah serangan jantung di luar hospital. Ujian klinikal dan makmal sedang berlangsung bagi memahami punca segalanya," kata jurucakap itu lagi.
Beliau menambah MOH akan bekerjasama dengan pasukan perubatan di NUH untuk mengenal pasti jika peristiwa itu mungkin berkaitan dengan vaksinasi yang dijalani.
Siasatan itu termasuk penilaian terperinci sama ada wujud radang otot jantung yang menjejas fungsi organ berkenaan.
Jawatankuasa pakar mengenai vaksinasi Covid-19 juga akan memantau hasil siasatan berkenaan.
Buat masa ini, menyusuli semakan data setempat dan luar negara, jawatankuasa itu dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengusulkan agar orang ramai mengelakkan daripada melakukan kegiatan fizikal lasak selepas menerima suntikan Covid-19 mRNA.
Dalam satu kenyataan berasingan pada Isnin, jawatankuasa ini berkata dalam tempoh seminggu selepas suntikan, orang ramai harus mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka mengalami sakit dada, lelah pernafasan dan degupan jantung tidak normal.
Semua doktor harus peka dengan pesakit yang menunjukkan tanda sebegini selepas vaksinasi, tambah jawatankuasa itu lagi.
Jawatankuasa itu juga menambah sehingga 30 Jun, HSA meneruma 12 laporan kes radang otot jantung dan radang akut pada lapisan perikardium (tisu mengelilingi jantung) berlaku pada mereka yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 mRNA.
Lima kes ini terjadi pada orang dewasa berusia 30 tahun ke atas. Tujuh kes melibatkan lelaki di bawah usia 30 tahun, sesuatu yang jawatankuasa pakar dapati lebih tinggi jumlahnya daripada yang dijangka dalam kumpulan usia ini, berdasarkan kadar latar belakang berlakunya kes ini.
HSA, dalam satu kenyataan berasingan, pula menambah sedang kebanyakan kes yang dilaporkan sebelum ini berlaku selepas suntikan dos kedua, pihaknya menerima enam laporan kes yang berlaku selepas suntikan pertama.