Remaja akui rogol ketika usia 14 tahun, pendakwa gesa hukuman berat

PENDAKWA raya meminta hukuman penjara 15 hingga 18 tahun dan sebat sekurang-kurangnya 15 kali bagi seorang remaja lelaki "degil" yang semasa berusia 14 tahun merogol seorang remaja perempuan berumur 16 tahun di sebuah lobi lif hanya tiga pintu dari flatnya.

Remaja itu, kini 16 tahun, menyerang mangsa - yang tidak dikenalinya - secara seksual pada 2014 ketika dia bebas di bawah ikat jamin mahkamah bagi beberapa kesalahan, termasuk mencuri daripada seorang lelaki berusia 80 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) David Khoo memberitahu Mahkamah Tinggi pada Isnin (6 Feb) walaupun hukuman pemulihan umumnya diutamakan bagi pesalah muda, ia harus diketepikan dalam kes ini kerana remaja itu melakukan perbuatan seksual "berakhlak buruk" terhadap mangsa.

Kesalahan yang dilakukan remaja itu, yang bertambah teruk sepanjang lima bulan, menunjukkan dia "satu ancaman kepada masyarakat", kata beliau.

Bagaimanapun, peguam yang ditugaskan membela remaja itu, Cik Nadia Moynihan, menggesa dia dikenakan program pemulihan akhlak, iaitu rejim ketat bagi pesalah berumur bawah 21 yang boleh berjalan antara 18 bulan dan tiga tahun, dengan alasan dia bersetuju menjalani pemulihan.

Beliau berhujah remaja itu tidak merancang perkosaan tersebut, sebaliknya bertindak mengikut gerak hatinya. Cik Nadia berkata menggambarkan remaja tersebut sebagai "degil" tidak tepat kerana dia bukan mengulangi kesalahannya setelah dihukum.

Beliau juga menyebut kes pesalah seks sebaya yang dijatuhi hukuman probesen atau program pemulihan.

Selepas mendengar hujah, Hakim Woo Bih Li meminta laporan bagi menentukan apakah remaja itu sesuai untuk program pemulihan akhlak.

Kes itu ditangguhkan pada 6 Mac.

Kedua-duanya, tertuduh dan mangsa, tidak boleh dinamakan atas sebab-sebab undang-undang.

Pada Julai 2014, remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin bagi kesalahan yang termasuk pecah masuk dan ragut terhadap seorang lelaki berusia 80 tahun. Pada September, dia melesapkan sebuah papan selaju (skateboard). Pada Oktober, dia mencabul seorang wanita berusia 21 tahun itu.

Pada 21 Nov 2014, remaja itu disuruh ibunya mengedarkan risalah ke flat di Bukit Panjang. Selepas melakukan tugas itu, dia ternampak mangsa di simpang lampu trafik dan memutuskan mengekorinya sebab dia berasa terangsang.

Di blok flat mangsa, dia segera masuk ke dalam lif dan menekan butang ke tingkat paling tinggi supaya mangsa tidak mengesyaki dia sedang mengekorinya.

Tetapi remaja itu mengekori mangsa apabila beliau keluar dan berkata "baby, I love you" lalu menyerang dan merogolnya.

Selepas serangan seks itu, dia berkata "bye bye", dan beredar.

Pada Isnin (6 Feb), remaja tersebut mengaku bersalah terhadap satu tuduhan rogol dan dua tuduhan serangan seksual dengan penetrasi.

Tuduhan lain akan diambil kira apabila dia dihukum.