SEORANG remaja dikejarkan ke hospital menyusuli satu pertengkaran dengan seorang penjaja di kedai kopi Sengkang pada Ahad (24 April).
Video kejadian yang tersebar di media sosial menunjukkan seorang belia lelaki melontar dulang pada seorang penjaja yang memberi reaksi dengan menyerangnya dengan senduk.
Menjawab soalan akhbar The Straits Times, polis berkata mereka diberitahu mengenai kes sengaja mencederakan di Blok 455 Sengkang West Avenue sekitar 5.50 petang pada Ahad.
Mereka mengesahkan seorang remaja 17 tahun telah dibawa ke hospital dalam keadaan sedarkan diri. Seorang lelaki 51 tahun pula sedang membantu dengan siasatan polis.
Dalam video itu, penjaja itu kelihatan sedang berbual dengan remaja di kaunter gerai tetapi perbualan itu bertambah 'panas' dengan nada suara yang meninggi.
Remaja itu kemudian melontar dulang ke arah penjaja itu yang kemudian mengambil senduk, keluar dari gerai dan memukul remaja itu. Orang lain di kedai kopi itu bergegas untuk membantu dan menghentikan pertengkaran itu.
Siasatan polis sedang diteruskan.