Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:29
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Setempat0

Remaja ditahan kerana rancang serangan masjid: Kebangkitan ekstremisme sayap kanan di S'pura membimbangkan, kata Shanmugam

Jan 27, 2021 | 08:55 PM

KEBANGKITAN kumpulan ekstremisme sayap kanan menyelinap masuk ke Singapura adalah perkembangan yang membimbangkan dan ia merupakan sebahagian daripada arus lebih besar yang melanda dunia, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam pada Rabu (27 Januari).

Beliau diminta mengulas kes pelajar Singapura berusia 16 tahun yang ditahan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Disember kerana merancang menyerang umat Islam di dua masjid di sini pada ulang tahun kedua serangan Christchurch di New Zealand.

Remaja keturunan India yang beragama Kristian Protestan itu dipengaruhi penembak Christchurch, Brenton Tarrant, dan merupakan tahanan ISA pertama yang dipengaruhi ideologi ekstremis pelampau sayap kanan.

"Budak lelaki ini berusia 16 tahun tetapi dia sangat serius," kata Encik Shanmugam kepada media di Agensi Sains dan Teknologi Home Team.

Beliau menambah:

Berita Popular

"Gerak hati ganas ini, saya menyatakannya banyak kali, bukan terbatas pada sesebuah kaum tertentu atau kumpulan agama tertentu sahaja. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia sebenarnya berlaku apabila seseorang itu terdedah pada ucapan berbaur kebencian dan kemudian dipengaruhi olehnya."

Strategi Singapura ialah mendekati masyarakat dan pertubuhan agama berkenaan isu mengekalkan keharmonian agama dan kaum serta menggunakan ISA bagi mengenal pasti individu yang sudah terpengaruh dengan radikalisasi sebelum mereka boleh menimbulkan sebarang bahaya, katanya. 

Encik Shanmugam akur jika serangan itu berjaya, ia kemungkinan akan mengapi-apikan keadaan dengan timbulnya rasa takut dan konflik antara kumpulan berlainan kaum dan agama di Singapura.

Menegaskan bahawa ekstremisme sedemikian tidak terbatas pada sebuah kumpulan sahaja, Encik Shanmugam memberi contoh pengganas yang mendakwa bertindak atas nama Islam serta ekstremis sayap kanan dengan manifesto berbaur kebencian.

Encik Shanmugam menggunakan contoh pengganas sayap kanan Norway, Anders Brevik, yang membunuh 77 orang pada 2011 dan pejuang supremasi (keunggulan) warga kulit putih Amerika, Dylann Roof, yang membunuh sembilan ahli kariah kulit hitam di Carolina Selatan empat tahun selepas itu.

Kedua-duanya mempengaruhi Tarrant, yang pada 15 Mac 2019, membunuh lebih 50 umat Islam di sebuah masjid di Christchurh.

"Kemudian Tarrant pula mencetuskan ilham buat belia lelaki ini, yang telah kami tahan. Ia adalah perkara yang menyedihkan, pada pandangan saya, sehinggakan berlakunya perkara ini, dunia boleh jadi begini. Dan perkara ini juga menyelinap di dalam Singapura," jelas Encik Shanmugam.

Beliau juga menambah serangan ke atas Bangunan Capitol di United States oleh pemberontak sayap kanan pada 6 Januari juga dilihat oleh ramai dalam kelompok ini sebagai "kejayaan simbolik dan kekalahan strategik yang boleh memberi mereka pengajaran". Isu ini akan menjadi satu "medan pertempuran yang panjang" bagi dunia dan Singapura, kata Encik Shanmugam lagi.

Dalam pada itu, beliau juga prihatin dengan satu lagi trend membimbangkan - di mana tujuh belia di bawah usia 20 tahun ditangkap di bawah ISA sejak 2015 selepas melalui proses radikalisasi menerusi Internet.

Empat orang telah ditahan sementara tiga lagi menjalani perintah sekatan.

Mengenai kes terkini ini, Encik Shanmugam berkata, belia berkenaan akan menjalani kaunseling agama yang dikendalikan pemimpin agama Kristian sebagai sebahagian daripada proses pemulihan jangka panjang.

"Dengan pemulihan yang dijalani, saya berharap selepas beberapa tahun, dia akan dibebaskan dan dapat meneruskan kehidupannya," katanya.

 

 

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map