SEORANG remaja 19 tahun dituduh di mahkamah daerah semalam di atas kesalahan merogol adik perempuannya.
Adiknya berusia antara lapan dengan 11 tahun ketika tertuduh dikatakan melakukan kesalahan seks itu.
Remaja ini berdepan dengan dua tuduhan rogol dan serangan seksual, satu tuduhan percubaan merogol dan dua lagi tuduhan sengaja menyebabkan kesakitan pada mangsa.
Warga Singapura yang menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu tidak boleh didedahkan identitinya kerana perintah mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.
Dokumen mahkamah menunjukkan dia cuba merogol adiknya yang ketika itu berusia lapan tahun pada 2017.
Dia juga menyerang secara seksual mangsa dengan penetrasi pada tahun itu.
Sekitar Januari 2020, dia dipercayai merogol budak yang berusia 11 tahun itu dalam dua kejadian berasingan.
Awal 2018, dia dikatakan mengetuk kepala adiknya dengan kayu hingga berdarah.
Pada Oktober tahun itu, dia juga dikatakan menampar muka adiknya sehingga bawah matanya lebam.
Mahkamah diberitahu mangsa kini dalam jagaan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Ibu bapa dua beradik ini hadir di sesi perbicaraan semalam.
Ikat jamin $50,000 diberikan kepada belia ini yang akan kembali ke mahkamah pada 23 Mac.
Bagi setiap kesalahan merogol, seorang pesalah boleh dipenjara antara lapan dengan 20 tahun serta menerima sekurang-kurangnya 12 sebatan rotan.
Kesalahan serangan seksual menerusi penetrasi turut membawa hukuman serupa.
Bagi setiap kesalahan cuba merogol, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun.
Hukuman maksimum bagi setiap kesalahan sengaja menyebabkan kesakitan membawa pada tempoh penjara hingga dua tahun dan denda $5,000.