SEORANG remaja 16 tahun yang mengalami serangan jantung selepas dos vaksin pertama beransur pulih dan telah menerima $225,000 di bawah Program Bantuan Kewangan Kecederaan Vaksin (Vifap).
Beliau kini di bawah program pemulihan semula pesakit dalam hospital dan boleh menjalankan kegiatan harian tanpa bantuan, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan semalam.
"Beliau akan dibenarkan pulang dalam masa beberapa minggu mendatang tetapi mungkin akan terus memerlukan pemulihan semula pesakit luar buat masa ini sebelum beliau dapat kembali ke sekolah dan menyambung kegiatan lain," kata MOH.
Pasukan perubatan akan meneruskan rawatan ke atasnya dan memantau keadaan beliau, tambah kenyataan itu.
Remaja itu mengalami serangan jantung pada 3 Julai, enam hari selepas menerima vaksin. Beliau mengalami miokarditis akut yang teruk atau radang di otot jantung, yang menyebabkan serangan jantung.
Menurut MOH, keadaan itu mungkin adalah kesan daripada vaksin yang diburukkan oleh kegiatan angkat berat oleh remaja itu serta pengambilan kafein yang tinggi menerusi air memberi tenaga dan suplemen.
Remaja itu dan keluarganya akan menerima bayaran sekali sahaja sebanyak $225,000 di bawah Vifap.
"Panel klinikal bebas yang dilantik untuk menilai dan meluluskan permohonan Vifap mendapati sementara remaja itu telah menunjukkan pemulihan baik tetapi disebabkan keadaannya agak teruk dan kritikal, maka beliau akan memerlukan rawatan dan pemulihan semula untuk tempoh lebih lama lagi bagi meneruskan pemulihannya," kata MOH.
Kementerian itu menasihatkan orang ramai supaya mengelak kegiatan fizikal yang berat selama seminggu selepas menerima dos pertama dan kedua vaksin.
Mereka yang mengalami miokarditis setelah dos pertama, tidak patut menerima dos lanjut.
Sementara itu, kadar kesan buruk disyaki berkaitan dengan vaksin di bawah program vaksinasi nasional adalah 0.12 peratus, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam laporannya.
Laporan keselamatan keempat bagi vaksin Pfizer dan Moderna, kali ini turut menyertakan vaksin Sinovac-Coronavac di bawah laluan akses khas.
Sejumlah 7,567,466 dos diberikan di bawah program vaksinasi nasional, yang mana 9,403 kejadian kesan buruk dilaporkan.
Daripada jumlah ini, 389 laporan - atau 0.005 peratus dos diberikan - diklasifikasikan sebagai kesan serius, sehingga 31 Julai.