SEORANG remaja sedang menjalani probesen apabila dia mengambil bahagian dalam aktiviti berkaitan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan penipuan pancingan data yang melibatkan pelanggan OCBC Bank.
Secara keseluruhannya, mangsa kehilangan kira-kira $12.8 juta.
Brayden Cheng Ming Yan, 19 tahun, mengaku bersalah semalam atas peranannya dalam operasi pengubahan wang haram.
Dia juga mengaku melakukan kesalahan di bawah Akta Jenayah Terancang.
Individu lain yang dikaitkan dengan penipuan itu, termasuk Mark Teo Sin Yan, 32 tahun, dan Leong Jun Xian, 21 tahun, telah dihadapkan di mahkamah sebelum ini.
Kes membabitkan beberapa lagi, termasuk Kong Jia Quan dan Muhammad Khairuddin Eskandariah, kedua-duanya berusia 20 tahun, masih belum selesai.
Cheng sebelum ini disabitkan dengan kesalahan termasuk merusuh dan dikenakan probesen pada Ogos 2021.
Tetapi dia kembali melakukan jenayah dan melakukan kesalahan terbarunya dari November 2021 hingga Februari 2022, kata pihak pendakwa.
Pihak pendakwa berkata dalam dokumen mahkamah:
"Tertuduh dan beberapa tertuduh lain telah bekerjasama sebagai satu kumpulan untuk menyediakan perkhidmatan pengubahan wang haram kepada sebilangan individu yang tidak dikenali yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket luar negara, dengan mendapatkan dan menyediakan kawalan akaun bank kepada orang yang tidak dikenali ini."
Mereka menambah beberapa akaun bank itu kemudiannya digunakan untuk menerima dan mengagihkan wang daripada mangsa penipuan, manakala akaun bank lain digunakan untuk menerima dan mengeluarkan dana daripada mangsa penipuan lain.
Sindiket itu juga memberitahu kumpulan itu untuk mengeluarkan wang tunai daripada mesin juruwang automatik (ATM).
Kumpulan itu menerima arahan daripada orang tidak dikenali itu, dan memberi butiran akaun bank yang mereka perolehi untuk sindiket.
Semalam, mahkamah meminta laporan untuk menilai kesesuaian Cheng untuk latihan reformatif yang melibatkan penahanan di pusat dengan rejimen ketat dan kaunseling.
Hakim Daerah May Mesenas juga meminta laporan kemajuan berkaitan probesen Cheng.
Hukuman ke atasnya dijadual berlangsung pada 2 Februari.