Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PEMBANTU RUMAH DI ERA PANDEMIK

Kini perlu $7,000 dapat amah baru

Jan 31, 2021 | 05:30 AM



BELIAU perlu mengeluarkan sekitar $7,000 bagi mendapatkan pembantu rumah asing baru.



Daripada jumlah itu, sekitar $1,700 dibayar untuk pembantu rumahnya menjalani ujian Covid-19 serta menampung keperluan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) sepanjang 14 hari.



Cik Zuraidah Osman, 45 tahun, seorang peniaga berkata jumlah itu jauh berbeza berbanding bayaran yang perlu dibuatnya bagi mendapatkan pembantu rumah baru pada tahun-tahun yang lalu.



Namun keadaan menjadi lebih sukar bagi ibu tiga anak itu, apabila pembantu rumahnya, Cik Ludfi Wardana, 24 tahun, dikesan positif Covid-19 tiga hari sebelum tamat tempoh SHN-nya.



"Saya kira $7,000 itu agak tinggi. Ramai mungkin keberatan mendapatkan pembantu rumah baru sebab bayaran itu perlu dibayar sebelum pembantu rumah itu diserahkan kepada majikan," katanya.



"Sebelum Covid, tak silap saya kita hanya perlu bayar $3,000 atau $4,000 lebih yang merangkumi wang pinjamannya, insurans, yuran ejen, dan sebagainya.



"Yuran ejen pun sekarang dah tinggi," ujarnya lagi.



Cik Zuraidah mendapatkan seorang pembantu rumah untuk mengurus dan mengemas rumah, membasuh baju serta tugas seharian yang lain sementara kededua tuan rumah bekerja.



Bercerita, Cik Ludfiyah, dari Malang, Indonesia, tiba di Singapura pada 22 Disember lalu dan menjalani ujian swab pada 2 Januari.



Beliau kemudian menjalani SHN di Ibis Singapore Novena Hotel.



Cik Ludfiyah sepatutnya pulang ke rumah majikannya pada 5 Januari.



Namun, tiga hari sebelum itu, beliau menerima SMS yang mengesahkannya positif Covid-19 dan perlu melanjutkan kuarantin selama seminggu di kemudahan pengasingan di Tuas.



"Memang saya kaget (terkejut)! Kerana saya tak menghidap gejala (simptom)," katanya ketika dihubungi.



"Sebenarnya di Jakarta sudah di-test 72 jam sebelum berangkat, tapi tak tahu bagaimana bisa positif di sini.



"Sudah pasrah saya. Saya fikir kalau perlu pulang ke Indonesia, iya pulang sajalah," ujar Cik Ludfiyah lagi.



Pada 10 Januari, beliau menjalani penilaian klinikal dan diisytihar bebas Covid-19. Beliau dipulangkan kepada majikannya pada 18 Januari.



Cik Ludfiyah antara 130 pembantu rumah asing yang diuji positif Covid-19 dari 23 Disember hingga 9 Januari lalu dengan kebanyakan kes baru di sini merupakan kes import.



Untuk masuk Singapura, pekerja asing perlu disahkan Covid-19 negatif daripada sebuah makmal yang diyakini.



Ujian tersebut perlu dilakukan 72 jam sebelum berangkat ke sini.



Selain itu, majikan perlu membeli insurans perubatan yang merangkumi sekurang-kurangnya $10,000 bagi pembantu rumah asing mereka menampung kos sekiranya mereka menghidap simptom Covid-19, atau diuji positif selepas 14 hari mereka tiba di sini.



Menurut Cik Farah Fauziah, pengarah urusan Hikmah Employment Agency yang mengendalikan tempahan Cik Zuraidah, insurans itu merangkumi kos rawatan perubatan sekiranya pembantu rumah mereka menghidap virus berkenaan.



 "Kami sebagai ejen perlu memastikan setiap pembantu rumah asing menjalani ujian yang diperlukan seperti ujian reaksi rantai polimerase yang perlu dijalani 72 jam sebelum mereka tiba di sini.



"Bagi membantu pihak majikan, jika pembantu rumah itu disahkan positif Covid-19, kami akan menghubungi, serta mengemas kini secara kerap dengan majikan mengenai keadaan pembantu rumah mereka," katanya, 64 tahun yang sudah berkecimpung dalam industri ini selama sekitar 30 tahun.



Merujuk kepada tempahan Cik Zuraidah, Cik Fauziah juga berkongsi setiap peringkat di mana pembantu rumah perlu menjalani SHN atau ujian serta jika diasingkan dalam kemuduhan khusus juga diberitahu pihak majikan agar mereka tidak bimbang terhadap keadaan pembantu rumah mereka.



Menyusuli risiko jangkitan Covid-19, Cik Zuraidah yakin terhadap penjagaan keselamatan yang dilakukan pemerintah tetapi terdapat sedikit tentangan daripada dua anak perempuannya.



Ini kerana dua anak perempuannya itu, yang berusia 22 dan 20 tahun berkongsi bilik bersama pembantu rumah itu dalam sebuah flat lima bilik di Serangoon North.



"Mana mungkin Kementerian Kesihatan (MOH) akan izinkan seorang yang belum bebas Covid-19 keluar dalam masyarakat.



"Saya yakin Ludfi sihat, tapi itulah, awal-awal lagi anak perempuan saya memang ada rasa takutlah sebab diorang share bilik dengan dia.



"Tapi sekarang kami bersyukurlah kerana akhirnya kami ada pembantu menguruskan rumah," kata Cik Zuraidah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >