Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Bagaimana M³ bantu empat golongan untuk raih pekerjaan lebih baik

Kerjasama antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - di bawah rangka kerja M Kuasa Tiga (M³) - bertujuan mempertingkatkan kehidupan masyarakat Melayu/Islam. Usaha itu mempunyai empat Bidang Tumpuan (FA) - perkahwinan, keibubapaan dan pendidikan awal kanak-kanak; individu dan keluarga rentan; memperkasa dan bimbing belia; serta pekerjaan dan daya kerja. BERITA MINGGU mewawancara Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, yang menerajui Bidang Tumpuan Empat (FA4) berkenaan pekerjaan dan daya kerja. Wawancara ini sebahagian daripada siri rencana Berita Harian/Berita Minggu mengenai M³.
Jun 19, 2022 | 05:30 AM



LEBIH banyak sokongan khusus akan diberikan di bawah rangka kerja M Kuasa Tiga (M³) untuk membantu pelbagai golongan pekerja Melayu/Islam meraih peluang pekerjaan lebih baik.



Ini termasuk pekerja platform atau pekerja 'gig', golongan wanita yang ingin kembali ke alam pekerjaan, golongan profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) yang matang atau pertengahan kerjaya, serta pekerja muda.



Demikian menurut Encik Mohd Fahmi Aliman, yang menerajui Bidang Tumpuan Empat (FA4) di bawah inisiatif M3 mengenai pekerjaan dan daya kerja, yang bertujuan membantu pekerja Melayu/Islam meningkatkan kemahiran dan merebut peluang dalam sektor pertumbuhan.



Inisiatif itu menggembleng tenaga pelbagai pihak dan badan untuk membantu pekerja Melayu/Islam.



Pelbagai pihak itu merangkumi Yayasan Mendaki, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan pemimpin kesatuan, serta badan Melayu/Islam seperti Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).



Februari lalu, Mendaki menandatangani perjanjian dengan NTUC sebagai sebahagian daripada strategi FA4.



Mendaki akan mempertingkatkan usaha menggalak lebih ramai anggota masyarakat Melayu/Islam menyertai program pekerjaan dan daya kerja nasional.



NTUC pula menjadi pertubuhan utama bagi pasukan bertindak FA4 itu, serta memanfaatkan rangkaian M3 untuk mendekati pekerja Melayu/Islam.



Antara usaha yang sedang dijalankan untuk mendekati pekerja adalah menerusi satu projek perintis melibatkan pemimpin kesatuan yang mengunjungi rumah ke rumah di Geylang Serai dan Bedok untuk memberi bimbingan dan nasihat kerjaya secara peribadi kepada pekerja, termasuk pekerja gig.



PEKERJA 'GIG'



Mengenai pekerja gig, Encik Fahmi berkata: "Kami berharap untuk membantu mereka dari segi penempatan pekerjaan dalam sektor pertumbuhan, dan membantu mereka beralih dari pekerja platform kepada pekerjaan stabil."



Beliau, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, berkata demikian dalam satu wawancara dengan Berita Minggu (BM) baru-baru ini.



Nasib pekerja platform - termasuk pekerja penghantaran makanan yang bekerja dengan platform seperti Deliveroo, foodpanda dan Grab - mencetus keprihatinan sejak kebelakangan ini.



Ini sedang pemerintah kini mengkaji langkah untuk memperkukuh sokongan dan perlindungan bagi golongan ini, yang mungkin menghadapi cabaran dari segi perumahan dan kecukupan persaraan, pampasan kecederaan di tempat kerja, dan perwakilan kesatuan sekerja.



WANITA KEMBALI BEKERJA



Bagi golongan wanita yang ingin kembali ke pasaran pekerjaan pula, Encik Fahmi berkata Mendaki, DPPMS, dan NTUC akan bekerjasama lebih rapat untuk memberi sokongan kepada golongan ini.



"Mendaki, DPPMS dan NTUC akan mengumpulkan kesemua aset kami untuk memberi peluang kepada wanita yang sudah lama tidak bekerja disebabkan komitmen keluarga, untuk kembali ke tenaga kerja," ujar Encik Fahmi, yang juga pengarah sekretariat divisyen operasi dan mobilisasi NTUC.



Antara lain, M³ sedang bekerja rapat dengan DPPMS untuk memberi golongan wanita itu peluang mempelajari kemahiran keusahawanan agar dapat berniaga dari rumah dan meraih pendapatan untuk keluarga.



Encik Fahmi berkata usaha untuk menyokong wanita kembali bekerja ini sejajar dengan aturan kerja fleksibel yang dilaksanakan majikan, serta langkah pemerintah memperkukuh sokongan bagi golongan penjaga.



Baru-baru ini, pemerintah telah mengumumkan untuk menaikkan Geran Penjagaan di Rumah daripada $200 sebulan kepada hingga $400 sebulan. Geran tersebut bertujuan mengurangkan kos perkhidmatan penjagaan warga emas, dan boleh digunakan untuk menggajikan pembantu, antara lain.



Dengan sokongan yang dipertingkat untuk golongan penjaga termasuk wanita, ini mungkin mendorong mereka untuk kembali bekerja, kata Encik Fahmi.



PEKERJA MATANG DAN MUDA



Menyentuh tentang golongan PMET yang berusia 40 tahun ke atas, Encik Fahmi berkata golongan ini antara yang terjejas dan kehilangan pekerjaan semasa pandemik.



"Kini, setelah sempadan kembali dibuka dan ekonomi beransur pulih, peluang pekerjaan lebih baik, tetapi pekerja matang yang ingin mencari pekerjaan baru harus menjalani latihan semula," ujarnya.



Berkenaan pekerja muda pula, Encik Fahmi berkata beliau mendengar rintihan golongan belia yang prihatin tentang peluang pekerjaan mereka.



Dalam hal ini, NTUC Muda pula akan bekerjasama dengan Mendaki dalam usaha untuk mendekati pelajar di sekolah dan institut pengajian tinggi.



"Untuk anak muda, kami ingin menekankan pentingnya mencari kerja dalam bidang yang dipelajari, kerana apa yang kami bimbangkan adalah jika mereka tidak dapat cari kerja, dan mereka tidak minat apa yang dipelajari.



"Dan golongan ini mungkin beralih ke ekonomi 'gig', dan ini boleh menjadi satu isu kerana setelah mereka masuk bidang itu, mereka mungkin sukar nak keluar," ujar Anggota Parlimen GRC Marine Parade itu.



FA4 dibentuk pada Jun 2020 di tengah-tengah pandemik Covid-19 bagi membantu para pekerja meningkatkan keupayaan mereka dan memastikan mereka mempunyai kemahiran yang diperlukan dalam pasaran.



Sebelum ini, Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, mempengerusikan Jawatankuasa FA4 sebelum diambil alih oleh Encik Fahmi, pada akhir 2021. Encik Zaqy kini merupakan penasihat jawatankuasa itu.




USAHA BIDANG TUMPUAN EMPAT (FA4) YANG DITERAJUI FAHMI



PEKERJA ‘GIG’



“Kami berharap untuk membantu mereka dari segi penempatan pekerjaan dalam sektor pertumbuhan, dan membantu mereka beralih dari pekerja platform kepada pekerjaan stabil.”



PEKERJA MUDA



“Untuk anak muda, kami ingin menekankan pentingnya mencari kerja dalam bidang yang dipelajari, kerana apa yang kami bimbangkan adalah jika mereka tidak dapat cari kerja, dan mereka tidak minat apa yang dipelajari.

Dan golongan ini mungkin beralih ke ekonomi ‘gig’, dan ini boleh menjadi satu isu kerana setelah mereka masuk bidang itu, mereka mungkin sukar nak keluar.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >