Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Khairy: Jalinan peribadi antara pemimpin membantu

Jun 06, 2022 | 05:30 AM



LANGKAH Singapura dan Malaysia membuka semula sempadan pada 1 April lalu adalah berasaskan rasa saling percaya antara pemimpin kedua-dua negara, kata Menteri Kesihatan Malaysia, Encik Khairy Jamaluddin.



Malah, hubungan peribadi dan profesional yang baik antara mereka juga telah membolehkan kedua-dua negara mencapai persetujuan membuka semula sempadan masing-masing pada masa yang sama.



SALING PERCAYA



Tambahnya, Menteri Kesihatan Singapura, Encik Ong Ye Kung, sedang berada di Kuala Lumpur apabila mereka memutuskan bahawa masanya tepat untuk membuka semula sempadan selepas mengkaji data dan protokol satu sama lain.



Encik Khairy menarik perhatian bahawa keputusan membuka semula sempadan itu tidak boleh dipandang ringan kerana Koswe merupakan antara sempadan darat paling sibuk di dunia dan koridor udara antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur juga antara yang tersibuk di dunia sebelum Covid-19.



"Terdapat implikasi serius jika kami silap.



"Sekiranya epidemiologi satu pihak tidak sama dengan pihak yang lain dan kami membuka semula sempadan, buruk kesannya.



"Sebab itulah perlu ada rasa saling percaya. Encik Ong perlu percaya apa yang saya laporkan itu tepat dan saya juga harus yakin dengan apa yang dilaporkannya," ujarnya.



Encik Khairy berkata demikian dalam satu wawancara dengan media di Four Seasons Hotel di Orchard, Khamis lalu.



Kini, beliau berkata Singapura dan Malaysia boleh dianggap sebagai satu zon epidemiologi dan oleh itu, usaha perlu terus dijalankan untuk menyelaras protokol kesihatan di kedua-dua negara.



HUBUNGAN PERIBADI, PROFESIONAL BAIK



Encik Khairy melawat Singapura selama empat hari dari Selasa hingga Jumaat lalu sebagai Zamil Pertukaran Lee Kuan Yew (LKYEF).



Dalam lawatannya, beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, serta beberapa menteri Kabinet termasuk Encik Ong; Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong; dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.



Beliau berkata mereka bersetuju dengannya bahawa hubungan antara Singapura dengan Malaysia tidak seharusnya bersifat teknikal dan rasmi sahaja.



Lebih daripada melihat perjanjian dari segi teknikal sahaja, Encik Khairy berkata adalah penting untuk melihatnya dari segi hubungan peribadi juga dan memahami bahawa perlu ada sikap tolak ansur, dengan pindaan boleh dibuat kepada perjanjian asal untuk mengambil kira perasaan kedua-dua pihak.



"Kita terlalu rapat untuk beroperasi tanpa melibatkan perasaan... kita harus mengambil kira perasaan satu sama lain.



"Untuk melakukan demikian, kita perlu ada hubungan peribadi dan inilah sebabnya saya meluangkan banyak masa sepanjang empat hari di Singapura untuk bertemu dengan mereka (pemimpin negara ini)... kerana dengan hubungan peribadi dan profesional yang baik, kita boleh... mencapai persetujuan dan membentangkan bahawa ini langkah yang boleh diterima.



"Ini yang saya lakukan dengan Encik Ong... kami berbincang dan dengan keupayaan politik kami untuk membuat keputusan, kami bersetuju bahawa inilah masa yang tepat untuk membuka semula sempadan," ujarnya.



Dalam lawatannya ke Singapura, Encik Khairy juga telah bertemu dengan Ketua Pembangkang dan Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh.



Dengan perwakilan yang lebih pelbagai dalam arena politik kini, beliau berkata adalah penting untuk bercakap dengan pelbagai pihak dan membina hubungan dengan mereka untuk memahami pandangan mereka.



"Adalah baik untuk memahami pandangan yang berbeza dari Singapura dan Malaysia... kerana kita begitu rapat," kata beliau.



TERUS KERJASAMA



Usaha kerjasama kedua-dua negara sewaktu pandemik Covid-19 juga wajar dilanjutkan dalam bidang lain, tambahnya.



Ini kerana Singapura dan Malaysia boleh menjadi lebih kukuh bersama.



Dari segi kerjasama mendapatkan vaksin misalnya, Encik Khairy berkata kedua-dua negara boleh melakar respons bersama untuk memperoleh vaksin pada masa akan datang.



Selain akses cepat untuk mendapatkan vaksin, beliau berkata jadual penghantaran yang baik juga penting.



Semasa pandemik Covid-19, Singapura menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada 21 Disember 2020.



Ini merupakan bekalan vaksin Pfizer-BioNTech yang pertama dihantar ke sebuah negara di Asia.



Malaysia pula menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech itu dua bulan kemudian.



Namun lebih daripada itu, Encik Khairy berkata Asean juga boleh meningkatkan kerjasama kesihatan mereka antara lain dengan menyediakan wadah di rantau ini bagi ujian klinikal dijalankan.



Kini, banyak ujian klinikal yang ditaja syarikat farmaseutikal besar sudah pun dijalankan di Singapura dan Malaysia, ujarnya.



Dengan wadah serantau ini, usaha boleh dijalankan untuk meneroka kemungkinan syarikat itu menubuhkan kemudahan pengeluaran vaksin di rantau ini.



"Dengan cara ini... apabila pandemik berlaku pada masa akan datang, kami sudah ada wadah bersama ini... dan ini akan banyak membantu.



"Encik Lee berkata dengan saya, jika kita boleh mempertingkat kerjasama kita dalam bidang kesihatan waktu tiada pandemik, keadaan akan menjadi lebih mudah waktu pandemik berlaku, jadi saya rasa kita harus merebut peluang ini sekarang," kata Encik Khairy.



Beliau juga berucap di Persidangan Asia Tech x Singapore (ATxSG) anjuran Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) tentang usaha memikirkan semula penjagaan kesihatan dalam landskap digital, Selasa lalu.



Encik Khairy menarik perhatian bagaimana Covid-19 telah mempercepat penggunaan wadah digital di Malaysia dan beliau berharap dapat menyesuaikan wadah yang digunakan semasa pandemik itu bagi kegunaan lain pada masa akan datang.



Dalam wawancaranya bersama media itu, Encik Khairy turut bercakap tentang usaha Singapura dan Malaysia menangani Covid-19, usaha pendigitalan rekod perubatan di peringkat hospital di Malaysia, keprihatinan berkaitan masalah kesihatan lain serta pilihan raya umum Malaysia akan datang.




MENTERI KESIHATAN MALAYSIA, ENCIK KHAIRY JAMALUDDIN, TENTANG: 



KEKURANGAN JURURAWAT



"Kami tidak boleh menghalang jururawat kami daripada merebut peluang lebih baik. Ramai jururawat kami dari Johor misalnya memilih untuk bekerja di (Singapura) kerana terdapat kekurangan di sini juga.



Kami juga sedang mengkaji usaha meningkatkan keupayaan untuk melatih jururawat... dan pilihan lain seperti mengambil jururawat ekspatriat juga.



Kami menghadapi kekurangan jururawat sekarang tetapi ini bukan unik bagi Malaysia sahaja, bahkan berlaku di negara lain juga."



KEPRIHATINAN KESIHATAN AWAM SEPERTI CACAR MONYET & HEPATITIS AKUT



"Apa yang kita perlu lakukan adalah untuk mempertingkat pengawasan tanpa langkah mendadak seperti menutup sempadan atau menguji orang ramai yang datang dari negara di mana terdapat cacar monyet misalnya.



Pertama, kami memastikan orang ramai sedar. Kami juga memastikan hospital dan klinik kami boleh merawat kes ini... dan tentunya, kami juga sudah menyiapkan wad pengasingan di hospital untuk merawat kes cacar monyet serta mempunyai keupayaan diagnostik yang mencukupi.



Apabila kami berdepan dengan keprihatinan kesihatan awam seperti ini, yang paling penting adalah langkah menangani risiko yang pantas, jelas dan praktikal, dan bukan reaksi mendadak untuk menutup sempadan atau melabel sebarang golongan orang."



PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA



"Kesediaan bermakna negara ini bukan sahaja perlu bersedia dari segi kesihatan awam...tetapi kita juga perlu ada momentum dalam pemulihan ekonomi.



Dan kami juga perlu memastikan bahawa Barisan Nasional (BN) sudah bersedia... dan saya tidak fikir mereka yang mahukan pilihan raya sekarang adalah orang yang memikirkan aspek membuat persiapan jentera pilihan raya, dengan sumber, orang yang betul dan barisan calon yang betul untuk bertanding dalam pilihan raya umum ini.



Mesej saya kepada rakyat yang juga pemimpin parti kita, yang menyatakan kita perlu mengadakan pilihan raya sekarang... kami hormati pandangan anda sebagai pemimpin parti... tapi langkah mengumumkan pilihan raya adalah budi bicara Perdana Menteri.



Perlu ada momentum. Kita baru saja melihat permulaan pemulihan.



Dan keduanya, adakah benar-benar ada keperluan besar untuk mengadakan pilihan raya segera? Saya tidak fikir begitu.



Pastinya, ramai yang menyatakan ini melibatkan kestabilan politik dan kemenangan mutlak. Ya, tapi apa bezanya antara pilihan raya pada tahun ini atau tahun depan?"




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >