Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kini dah ada pilihan, sanding di kolong blok atau 'ballroom'?

Aug 01, 2022 | 05:30 AM



Selama lebih dua tahun, riuh-rendah yang kita sering dengar di kolong blok kerana menyambut ketibaan raja dan permaisuri sehari seakan tiada akibat pandemik Covid-19. Sebaliknya, majlis walimah beralih ke ruang tertutup seperti ballroom dan hotel. Namun dengan kelonggaran pada langkah pengurusan selamat, adakah bakal mempelai kita mahu kembali ke kolong blok bagi majlis walimah mereka atau kekal di 'ballroom' di mana bilangan tetamu lebih kecil dan suasana lebih selesa kerana berhawa dingin? BERITA HARIAN meninjau perubahan trend bakal mempelai pascapandemik ini.



SEDANG pasangan mempelai lain memilih untuk melangsungkan majlis walimah di 'ballroom' atau hotel, Cik Suzela Afandi, 35 tahun, sebaliknya memilih menjadi permaisuri sehari di dewan serba guna di Toa Payoh, meskipun jumlah undangan hanyalah sekitar 250 orang sahaja.



Menurutnya, fleksibiliti yang membolehkan keluarga pengantin berinteraksi bagi tempoh yang lama - iaitu dari pagi hingga ke petang - serta ruang luas yang terbuka, merupakan antara faktor yang membuatnya memilih melangsungkan majlis perkahwinannya di dewan serba guna dan bukan di 'ballroom' atau hotel.



"Ibu bapa saya mahu kembali ke cara tradisional di mana majlis walimah diadakan di kolong blok kerana bagi mereka ruang di 'ballroom' agak sempit dan tertutup.



"Dari segi masa juga, ia juga agak terhad," katanya yang akan bernikah pada Oktober ini.



Selama lebih dua tahun, majlis walimah di kolong blok tidak lagi diadakan akibat pandemik Covid-19 yang menyukarkan usaha melaksanakan langkah jarak selamat seperti 'safe entry.'



Sebaliknya, majlis perkahwinan mula beralih ke ruang tertutup seperti di 'ballroom' dan hotel di mana langkah penjagaan keselamatan dapat dikawal dengan lebih rapi.



Namun dengan keadaan pandemik yang kian reda terutama dengan ramai warga kini sudah divaksinasi serta banyak sekatan telah mula dilonggarkan, permintaan untuk mengerjakan majlis walimah di kolong blok mula kembali seperti biasa.



Peluang ini juga direbut Encik Burhan Nuddin Ismail, 28 tahun, yang tidak berlengah dan terus menempah dewan serba guna di Bukit Panjang apabila majlis walimah dibolehkan di kolong blok.



Menurutnya apabila beliau memberi kad undangan majlisnya kepada saudara-mara dan sahabat-handai, ramai yang gembira dan seakan tidak sabar untuk menghadiri majlis walimahnya di kolong blok.



"Ramai yang cakap pada saya "wah kat 'multi-purpose hall'. Dah lama tak pergi!," katanya.



Encik Burhan, warga Malaysia yang bekerja di sini sebagai eksekutif kemudahan (facility) berkata beliau memilih dewan serba guna kerana rindukan "vibe" majlis walimah di kolong blok.



"Saya memang rindu sangat semangat gotong royong dan juga riuh-rendah walimah di kolong blok. Paling saya rindu ialah paluan kompang dan juga sesi karaoke. Seronok sekali!" katanya.



Menurutnya, kemeriahan itu tidak sama seperti di 'ballroom' atau hotel.



"Bagi saya di 'ballroom', ruangnya agak terhad. Masa yang diberikan juga agak terhad. Cukup masa semua kena diarah keluar kerana masa sudah tamat," katanya lagi.



Beberapa penyedia khidmat perkahwinan yang ditemubual Berita Harian (BH) berkata mereka menerima beberapa pertanyaan daripada bakal mempelai yang mahu melangsungkan majlis mereka di kolong blok.



Meskipun demikian, bilangannya tidak ramai berbanding masa pra-pandemik.



Pemilik Puteri Wedding Services, Cik Aishah Jaafar, berkata bakal pengantin yang memilih untuk mengadakan majlis di kolong blok hanya merangkumi 20 peratus daripada keseluruhan pelanggannya. Bakinya memilih untuk melangsungkan di 'ballroom' dan hotel.



Ini berbanding dengan masa pra-pandemik di mana 80 peratus pelanggannya memilih untuk melangsungkan majlis perkahwinan di kolong blok.



"Pandemik telah merubah lanskap majlis walimah di sini. Sepanjang dua tahun, masyarakat telah mula menyesuaikan diri dengan norma baru di mana majlis walimah diadakan di dewan tertutup yang berhawa dingin dengan bilangan tetamu yang terhad.



"Justeru penyesuaian itu kini berterusan pada pascapandemik ini," katanya yang sudahpun mempunyai mempelai yang akan mengadakan majlis walimah di kolong blok pada Ogos ini.



Pengurus syarikat Pink Lolly, Encik Aaron s/o Krishansamy, pula berkata pihaknya telah mula menerima pertanyaan daripada bakal mempelai yang mahukan majlis walimah mereka diadakan di kolong blok.



"Selalunya ibu bapa pengantin mahu keluarga yang hadir dapat berinteraksi bersama dan ini hanya dapat dilakukan jika majlis diadakan di kolong blok.



"Keluarga dapat rewang dan bersantai sampai malam, dan bukan terhad kepada tempoh sewa di hotel yang hanya sekitar empat jam sahaja," ujarnya.



Sebelum ini, bagi pasangan yang ingin melakukan majlis walimah di kolong blok, selain mendaftar dengan majlis bandaran mereka, pasangan juga perlu memberitahu Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) yang akan membantu dalam proses permohonan mempelai.



Menurut seorang jurucakap DPPMS, pihaknya telah menerima sekitar 19 permohonan untuk tahun ini.



Namun sejak April tahun ini, mempelai tidak lagi perlu memberitahu DPPMS tentang permohonan sewa majlis walimah mereka di kolong blok.



Bagi penyedia perkahwinan, antara cabaran untuk memenuhi keinginan melakukan walimah di kolong blok ialah keperluan logistik.



"Kebanyakan pembekal kami telah menjual kerusi meja, pinggan mangkuk, dekor dan khemah. Jadi cabaran kami ialah untuk mencari pembekal yang masih menyimpan peralatan ini.



"Berbanding dengan di 'ballroom', semua peralatan sudah tersedia," kata Cik Aishah lagi.



Seorang lagi penyedia khidmat perkahwinan, Cik Ross Arsad, dari Ross Bridal, berkata bulan ini sahaja pihaknya telah mula menerima lebih 40 pertanyaan mengenai majlis walimah di kolong blok.



Namun menurutnya, bakal pengantin perlu sedar bahawa tidak semestinya harga bagi majlis di kolong blok lebih murah berbanding di dewan atau hotel.



"Untuk 100 tetamu, pakej kami ialah sekitar $13,000 manakala untuk 1,000 orang, pakejnya secara purata ialah sekitar $31,000.



"Tetapi ia merangkumi semua keperluan termasuk makanan, dekorasi, kendarat, musolah, tandas, kad undangan, deejay dan jurugambar," ujarnya.



Pihaknya juga turut menyediakan pasukan khas yang akan memastikan segala langkah pengurusan selamat dipatuhi sepanjang majlis dijalankan.



Akur, pemilik Amani Services, Encik Mohamed Nor Ismail, atau lebih dikenali sebagai Kino, berkata ada kalanya melakukan majlis walimah di 'ballroom' bagi 500 tetamu, lebih murah berbanding di kolong blok.



"Mungkin sewa kolong blok tidak melebihi sekitar $300 berbanding dengan 'ballroom' yang paling murah sekitar $3,500. Malah kelab masyarakat sahaja sewa sahaja boleh menelan sehingga $4,700.



"Tetapi ini belum diambil kira kos dekor, pinggan mangkuk, alat set bufet, dan kos elektrik dan air. Jadi jika digabungkan semua itu, ia mengurangkan kos logistik dan pengangkutan sekali gus menjadikan pilihan 'ballroom' lebih murah," katanya.



Meski bakal mempelai mempunyai pelbagai pilihan tempat perkahwinan mereka, tetapi satu yang pasti ialah bilangan tetamu yang diundang pascapandemik ini sudah mula berkurangan.



Pemilik Memoire Events Management, Encik Daanish Shah Nordin, berkata mempelai kini mahukan majlis walimah yang lebih kecil bilangan tetamu dan bukan 1,000 tetamu seperti pra-pandemik.



"Kami menerima lebih banyak permintaan yang mahukan mengundang sekitar 500 tetamu ke majlis mereka.



"Ada juga yang hanya majlis kecil dengan tidak melebihi 200 tetamu.



"Saya rasa Covid-19 telah mengajar kita bahawa untuk memastikan sesuatu majlis walimah itu berjalan dengan jaya, ia tidak semestinya dilakukan berskala besar dan secara gah. Majlis walimah kecil tetapi bermakna lebih dihargai mempelai hari ini," katanya.




PANDANGAN BAKAL PENGANTIN, PENYEDIA KHDIMAT PERKAHWINAN 



"Pandemik telah merubah lanskap majlis walimah di sini. Sepanjang dua tahun, masyarakat telah mula menyesuaikan diri dengan norma baru di mana majlis walimah diadakan di dewan tertutup yang berhawa dingin dengan bilangan tetamu yang terhad.



Justeru penyesuaian itu kini berterusan pada pascapandemik ini.''



- Pemilik Puteri Wedding Services, Cik Aishah Jaafar.



"Kami menerima lebih banyak permintaan yang mahukan mengundang sekitar 500 tetamu ke majlis mereka.



Ada juga yang hanya majlis kecil dengan tidak melebihi 200 tetamu.



Saya rasa Covid-19 telah mengajar kita bahawa untuk memastikan sesuatu majlis walimah itu berjalan dengan jayanya, ia tidak semestinya dilakukan berskala besar dan secara gah. Majlis walimah kecil tetapi bermakna lebih dihargai mempelai hari ini.''



- Pemilik Memoire Events Management, Encik Daanish Shah Nordin.



"Ibu bapa saya mahu kembali ke cara tradisional di mana majlis walimah diadakan di kolong blok kerana bagi mereka ruang di ballroom agak sempit dan tertutup.



Daripada segi masa juga, ia juga agak terhad.''



- Cik Suzela Afandi, bakal menjadi permaisuri sehari di dewan serba guna di Toa Payoh, Oktober ini. Jumlah undangannya sekitar 250 orang sahaja.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >