Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PANDANGAN

Resah, gelisah...Fikirkan ekonomi?

Jul 21, 2019 | 05:30 AM



Sedang ekonomi negara dijangka muram secara umumnya ekoran ketidaktentuan ekonomi global, masih ada 'tompok panas' atau sektor yang terus berkembang sihat dan menyajikan peluang pekerjaan untuk penduduk Singapura. BERITA MINGGU melaporkan di halaman ini dan dua halaman berikut.




SINGAPURA kian terkena tempias daripada ketegangan dagang antara Amerika Syarikat dan China, dengan pertumbuhan ekonomi suku kedua negara ini jatuh ke tahap paling rendah dalam sedekad.



Ketidaktentuan ini boleh mencetuskan rasa resah dan gelisah dalam kalangan pekerja yang tidak pasti apakah pekerjaan mereka akan terjejas.



Apa yang sedang diperhatikan ramai adalah sejauh mana Singapura, khususnya pemimpin generasi keempat (4G) serta rakyat biasa sendiri berasa yakin dan mampu untuk mengharungi 'ribut' jika ia melanda.



Daripada apa yang dilihat sejauh ini, pemimpin Singapura memaparkan semacam 'keyakinan yang berhati-hati' dan bersiap sedia untuk berdepan dengan ketidaktentuan, meskipun mereka turut menggesa warga Singapura agar berwaspada.



Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, memberi gambaran Singapura bersedia untuk berdepan dengan cabaran itu.



Pada 12 Julai lalu, beliau berkata Singapura bersedia menghadapi kitaran ekonomi dan harus terus memberi tumpuan kepada jangka masa sederhana dan panjang, sambil menangani cabaran jangka pendek.



Beliau bagaimanapun memberi isyarat Singapura tidak menjangkakan kemelesetan tahun penuh kali ini.



Selasa lalu, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan ramalan pertumbuhan bagi Singapura daripada 2.3 peratus kepada 2 peratus untuk tahun ini.



Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, berkata Singapura kekal yakin asasnya yang kukuh akan membantunya mengharungi cabaran itu.



Pada 26 Jun lalu, beliau juga berkata Singapura perlu "bersedia tetapi tidak gentar".



Pelaburan yang terus masuk memberi keyakinan bahawa negara ini "berada dalam landasan yang betul", kata Encik Chan.



Tahun lalu, Singapura menarik pelaburan aset tetap (FAI) sebanyak $10.9 bilion, mengatasi ramalan $10 bilion.



Antara syarikat yang melabur di sini tahun lalu ialah syarikat gergasi semikonduktor Amerika Syarikat, Micron, yang meluaskan kemudahan bagi mengilang produk memori flash Nand 3D, dan syarikat Britain Dyson yang akan mengilangkan kereta elektrik di sini.



April lalu, syarikat ExxonMobil memberi komitmen projek peluasan kompleks pengilangan bersepadu di Pulau Jurong bernilai berbilion dolar.



Apa pula kata pakar?



Kesan jangka masa pendek adalah jelas, dengan adanya risiko negatif kepada ekonomi Singapura, serta kemungkinan berlakunya kemerosotan berturut-turut dalam suku-suku tertentu, kata Naib Presiden Eksekutif Pasaran Global, Perbankan Global, Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat.



"Tetapi kita harus mampu melihat keadaan jangka pendek dan menilai keadaan jangka sederhana secara lebih objektif.



"Saya masih rasa kita yakin secara berhati-hati untuk mengharungi 'ribut' ini," ujarnya.



Beliau menyebut beberapa sebab bagi Singapura untuk berasa yakin - lebihan akaun yang sihat, dolar Singapura yang masih kukuh berbanding dolar Amerika, serta pasaran buruh yang kekal berdaya tahan.



"Tiada keraguan tentang ruang dasar bagi stimulus fiskal jika keadaan memerlukannya.



"Rizab kita dan rangka kerja dasar yang kuat boleh jadikan kita agak yakin untuk mengharungi masa sukar," ujar Encik Saktiandi.



Hakikatnya, Singapura sebagai ekonomi terbuka bergantung kepada keadaan global, yang sedang pulih daripada krisis kewangan pada 2008.



Perang tarif antara Amerika dan China sudah mula menjejas ekonomi Singapura. Amerika merupakan pelabur terbesar di negara ini, manakala China pula rakan dagang Singapura yang terbesar.



Pengarah Pengurusan Harta (Ekonomi dan Strategi Pasaran) di firma penasihat kewangan bebas Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid, berkata:



"Tanpa perang dagang pun, ekonomi global telah berkembang untuk tempoh yang berlarutan dan masanya kini masak bagi kelembapan dan juga kemelesetan."



Tambahnya, ketegangan dagang itu hanya mempercepat kemelesetan, yang lambat laun dijangka akan berlaku jua.



Apabila ada kemelesetan global, malangnya Singapura akan terjejas kerana negara ini bergantung kepada perdagangan.



"Yang baiknya Singapura antara segelintir negara yang mempunyai keupayaan fiskal, dengan wang secukupnya dalam simpanannya untuk mengharungi kemerosotan," ujar Encik Sani.



Satu lagi persoalan ialah apakah pemerintah bakal menyediakan pakej serupa 'Pakej Daya Tahan' yang diberikan pada 2009 untuk membantu Singapura mengharungi krisis kewangan global waktu itu.



Ketidaktentuan yang berpanjangan boleh menjejas pekerjaan.



Pemerintah telah berkata negara ini masih menarik pelaburan, tetapi persoalannya adalah sejauh manakah pelaburan itu akan menghasilkan pekerjaan yang menarik bagi warga Singapura.



Bagi individu yang hilang pekerjaan atau yang baru lulus sekolah, persoalannya mungkin - secepat manakah mereka boleh meraih pekerjaan, dan adakah mereka mempunyai kemahiran dan kelayakan yang diperlukan?



Oleh itu, latihan terus menjadi satu teras penting bagi membantu warga Singapura memanfaatkan peluang baru dalam ekonomi.



Sementara itu, Encik Sani berkata warga Singapura juga perlu mengurus hutang sebagai persiapan untuk menghadapi kemerosotan.



"Jika anda memasuki kemelesetan dengan banyak hutang, itu akan jadi satu masalah jika anda hilang pekerjaan anda," ujarnya.



Selain itu, warga Singapura perlu memastikan terdapat simpanan kecemasan yang boleh dimanfaatkan jika mereka dibuang kerja, kata Encik Sani.



Jika di peringkat negara, Singapura bersedia menghadapi 'ribut', rakyat biasa juga harus menyediakan payung sebelum hujan.




Nur Adilah Mahbob koresponden BH/BM. Baru-baru ini, beliau menulis wacana 'Sasaran bangunkan firma besar Melayu/Islam: Usaha, kesedaran, capai visi adalah penting', serta laporan tentang Ceramah Arif Budiman bertajuk 'Ketahui sejarah, fahami jati diri'.



IG: adilahmahbob



Twitter: adilahBHsg




APA KATA PAKAR



Saya masih rasa kita yakin secara berhati-hati untuk mengharungi 'ribut' ini... Tiada keraguan tentang ruang dasar bagi stimulus fiskal jika keadaan memerlukannya. Rizab kita dan rangka kerja dasar yang kuat boleh jadikan kita agak yakin untuk mengharungi masa sukar.
- Naib Presiden Eksekutif Pasaran Global, Perbankan Global, Maybank Group, Encik Saktiandi Supaat.



" Tanpa perang dagang pun, ekonomi global telah berkembang untuk tempoh yang berlarutan dan masanya kini masak bagi kelembapan dan juga kemelesetan... Yang baiknya Singapura antara segelintir negara yang mempunyai keupayaan fiskal, dengan wang secukupnya dalam simpanannya untuk mengharungi kemerosotan.
- Pengarah Pengurusan Harta (Ekonomi dan Strategi Pasaran) di firma penasihat kewangan bebas Financial Alliance Pte Ltd, Encik Sani Hamid.




ANTARA CABARAN SEJAGAT



PERANG DAGANG



- Tikai dagang dan perang tarif antara Amerika Syarikat dan China telah berlarutan lebih setahun.



- Pemimpin kededua negara itu baru-baru ini setuju untuk teruskan rundingan tetapi tiada tarikh akhir yang ditetapkan.



EKONOMI SINGAPURA



- Pertumbuhan suku kedua jatuh ke tahap paling rendah dalam sedekad.



- Tumbuh 0.1 peratus berbanding setahun lalu, dan kuncup 3.4 peratus berbanding suku pertama.



- Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) turunkan ramalan pertumbuhan Singapura daripada 2.3 peratus kepada 2 peratus untuk 2019.



KELEMBAPAN EKONOMI CHINA



- Tumbuh 6.2 peratus dalam suku kedua, kadar paling rendah dalam 27 tahun.



- Tanpa perang dagang pun, pakar jangkakan pertumbuhan lebih rendah sedang ekonomi China kian matang.



BREXIT



- Ketidaktentuan berkaitan Brexit di United Kingdom dan Kesatuan Eropah masih kekal.



- Jika berlarutan, ia akan menjejas sentimen perniagaan dan pengguna global.



- Namun, ia juga menawarkan peluang dengan syarikat seperti Dyson yang telah umum rancangan pindahkan ibu pejabat dari Britain ke negara ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >