Resort di Pasir Ris didenda, tidak dibenar terima tempahan selama sebulan selepas 19 orang berkumpul di premis
RESORT Cherryloft Resorts & Hotels di Pasir Ris telah dikenakan denda $1,000 serta diperintahkan supaya menggantung tempahan selama sebulan setelah melanggar beberapa langkah pengurusan selamat dan membenarkan 19 orang berkumpul di premisnya.
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada Ahad (17 Jan) mengatakan resort itu tidak akan dibenarkan menerima tempahan baru selama 30 hari mulai Ahad sehingga 15 Februari. Ia boleh terus memenuhi tempahan yang telah dibuat sebelum Ahad.
Satu operasi bersama oleh STB dan polis pada Jumaat (15 Jan) mendapati 19 orang telah berkumpul di dua unit bersebelahan di resort itu, yang sebelumnya dikenali sebagai Costa Sands. Semua 19 individu itu didenda $300 setiap seorang kerana melanggar aturan maksimum lapan orang dalam satu kumpulan yang dibenarkan di bawah sekatan Fasa 3.
Pengarah STB bagi hotel dan sektor tenaga kerja, Cik Tan Yen Nee, berkata pihaknya memandang serius perihal langkah pengurusan selamat yang gagal dilakukan, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan kerana ketidakpatuhan. - ST.