SEBUAH restoran makanan laut di Punggol telah berhenti menggunakan mesin penyepit atau ‘claw machine’ yang membolehkan pelanggan untuk menangkap sendiri ketam Sri Lanka hidup.
Pada hari Khamis (24 Oktober), Restoran House of Seafood berkata ia berhenti menggunakan mesin itu buat sementara waktu dan meminta maaf kerana menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai.
Langkah itu diambil sehari selepas Persatuan Cegah Kekejaman Ke Atas Binatang (SPCA) menyifatkan permainan mesin itu sebagai kejam dan menimbulkan kemudaratan yang tidak perlu kepada ketam.
Ini sedang ketam itu boleh jatuh dari tempat tinggi jika pengguna mesin itu tidak berjaya menyepit ketam dalam permainan mesin itu.
Dalam satu pos di Facebook, Ketua Pegawai Eksekutif House of Seafood, Encik Francis Ng, berkata pihaknya akan menghentikan penggunaan mesin itu sementara restoran itu menyemak sistemnya.
“Kami tidak berhasrat menggunakan haiwan sebagai bahan mainan. Kami melihat ramai kanak-kanak di Punggol Settlement dan kami mahu mendidik mereka tentang kehidupan laut.”
Tambah Encik Ng, restoran itu sebelum ini membuat perancangan selama sebulan “untuk menghasilkan reka bentuk mesin supaya tidak membahayakan atau menyakiti ketam”.
Namun, pihaknya menghormati maklum balas daripada orang awam, kata Encik Ng kepada akhbar The Straits Times.