Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Restoran tawar ramen, nasi Jepun asli halal

Dec 09, 2018 | 05:30 AM



SETIAP hari, seawal 5 pagi, tukang masak di Ichikokudo Hokkaido Ramen masuk dapur untuk memasak air rebusan bagi hidangan ramen yang ditawarkan restoran Jepun halal itu.



Setiap periuk air rebusan itu terdiri daripada 20 kilogram ayam, ramuan rahsia dan beberapa jenis sayur yang direbus selama tujuh jam.



Sekurang-kurangnya empat periuk air rebusan itu disediakan sehari dengan setiap periuk dapat menghasilkan 128 mangkuk ramen.



Menurut pengasas restoran di besmen satu Suntec City itu, Encik Tatsuya Hasegawa, air rebusan tersebut menjadi asas bagi empat jenis hidangan ramen yang ditawarkan.



Bagi Shoyu Ramen, pes sos soya ditambah ke dalam air rebusan itu dan dicampur dengan rumpai laut dari Hokkaido serta ikan kembung Jepun. Ramen jenis Daichi Tomato pula terdiri daripada air rebusan yang dicampur pes tomato dan perisa bawang putih. Bagi Hokkai Jigoku, air rebusan itu dicampur dengan miso pedas. Miso ialah pes kacang soya yang ditapaikan.



Ramen jenis Hokkai Seafood pula terdiri daripada air rebusan yang dicampur garam yang menghidupkan rasa 'umami' daripada makanan laut segar yang digunakan.



Pes yang digunakan bagi sup ramen itu juga hasil buatan cef restoran tersebut. Mi yang digunakan merupakan resipi sendiri, menggunakan tepung gandum Hokkaido yang terkenal dengan mutu tinggi.



Restoran Ichikokudo Hokkaido Ramen dibuka pada 26 Julai lalu dan mendapat sijil halal pada 1 November.



Jenama itu, yang pertama di Singapura, memaparkan konsep Hokkaido daripada segi menu dan hiasan dalamannya. Hokkaido, yang terletak di utara Jepun, terkenal dengan makanan laut segar dan pelbagai.



Encik Hasegawa, 42 tahun, berkata beliau memutuskan membuka restoran menjual sajian Jepun halal di Singapura setelah mendapati kekurangan pilihan ramen halal yang asli di sini.



Beliau, yang berasal dari Hyogo, berkata kebanyakan hidangan Jepun di Singapura lebih manis daripada biasa setelah disesuaikan dengan cita rasa orang di sini.



Beliau juga memilih Singapura kerana profil penduduk yang pelbagai kaum dan agama selain mempunyai bilangan warga asing yang ramai.



"Jika kami berjaya di sini, kami merancang meluaskan jenama ini ke serata dunia. Kami merancang membuka lima lagi cawangan di Singapura tahun depan dan melangkah ke Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah.



"Kami juga merancang membawa konsep ini kembali ke Jepun menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo," kata Encik Hasegawa, yang kali pertama ke Singapura pada Jun 2016.



Beliau menerangkan, menu restoran itu mengambil masa dua tahun disiapkan memandangkan beberapa bahan yang biasa digunakan di Jepun, seperti mirin (wain beras manis) dan sake (wain beras Jepun), perlu diganti dengan bahan halal.



Selepas mendapat bahan halal di sini, beliau mengirimnya ke Jepun untuk dikaji dan membolehkan cef di sana menghasilkan resipi.



Sedang beliau berjanji mengekalkan keaslian sajian Jepun di restorannya, Encik Hasegawa berkata beliau perlu mengurangkan kemasinan hidangan selepas mengambil kira maklum balas pelanggan.



"Orang Asia Tenggara mendapati sajian asli kami terlalu masin sedangkan di Hokkaido, paras kemasinan itu biasa-biasa sahaja," katanya.



Sebelum restoran itu dibuka pada 11 pagi setiap hari, ketua cef, Encik Shogo Hamano, makan semangkuk ramen bagi memastikan mutunya terjaga.



Cef berusia 32 tahun yang berasal dari Hiroshima itu menyarankan pelanggan mencuba Ichikokudo Ramen ($9.90), ramen jenis Shoyu asli. Hidangan mi berkuah itu disajikan bersama hirisan ayam, telur rebus, rebung, cendawan hitam, rumpai laut dan daun bawang. Sajian itu sesuai dinikmati secara set dengan pilihan karaage (ketulan ayam goreng) atau gyoza (ladu) panggang dan hirisan semangka.



Hidangan Hokkai Ramen Gifts from the Sea pula memaparkan pelbagai jenis makanan laut segar seperti kaki ketam salji, kekapis dan udang harimau dalam mangkuk berisi mi dan sup cair.



Selain ramen, restoran itu menawarkan hidangan nasi seperti Donburi Karaage, Donburi Toji, Donburi Grill dan Donburi Seafood.



Secara keseluruhan, 18 jenis hidangan ramen dan 15 jenis hidangan nasi ditawarkan, selain hidangan sampingan dan pencuci mulut aiskrim yang menggunakan susu Hokkaido.



Restoran Ichikokudo Hokkaido Ramen boleh memuatkan 85 pelanggan pada satu-satu masa dan turut menawarkan ruang menjamu selera secara tatami di mana pelanggan duduk bersila dan makan di meja rendah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >