Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Restoran Zam Zam diarah tutup 10 hari dek langgar pengurusan selamat

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Restoran Zam Zam diarah tutup 10 hari dek langgar pengurusan selamat

Feb 11, 2021 | 05:30 AM

RESTORAN Zam Zam antara enam tempat makanan dan minuman (F&B) yang diarah tutup kerana melanggar langkah pengurusan selamat (SMM).

Lima lagi tempat makan dan 29 individu disaman kerana kesalahan sama.

Restoran tersebut sebelum itu telah melakukan kesalahan lain pada 22 Mei 2020 dan 19 Disember 2020 dan disaman $1,000 dan $2,000.

Atas kesalahan melanggar SMM, ia telah diarah oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk menutup premisnya selama 10 hari dari 9 Februari hingga 18 Februari 2021.

Ini sebahagian daripada peningkatan pemeriksaan untuk memastikan pematuhan SMM semasa tempoh Tahun Baru Cina yang melibatkan agensi pemerintah melakukan pemeriksaan ke atas premis F&B, pusat beli-belah dan tempat awam lain, kata Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) dalam satu kenyataan.

Restoran-restoran lain yang juga diarah tutup ialah Ah Yat Seafood Restaurant di 200 Turf Club Road; East Treasure Chinese Restaurant di 3B River Valley Road; Crystal Jade Jiang Nan di VivoCity; Ding Garden di 191B New Bridge Road; dan Wangzi Music Restaurant di 19 New Bridge Road.

Ah Yat Seafood Restaurant, East Treasure Chinese Restaurant, Crystal Jade Jiang Nan dan Ding Garden semuanya didapati membenarkan bilangan ramai pelanggan membuat tempahan dan makan di restoran-restoran mereka.

Satu acara makan malam yang dianjurkan sebuah syarikat yang melibatkan 65 orang telah dibenarkan berlangsung di Ah Yat Seafood Restaurant, begitu juga di East Treasure Chinese Restaurant yang membenarkan sebuah syarikat menempah dua meja bagi 16 kakitangan mereka bagi satu acara makan malam.

Syarikat tersebut dan kesemua 16 kakitangannya yang makan di restoran itu masing-masing akan disaman $1,000 dan $300 seorang.

Sementara itu Crystal Jade Jiang Nan didapati menerima tempahan bagi 16 pelanggan daripada isi rumah berbeza yang duduk di dua meja berasingan pada 6 Februari lalu.

Ding Garden, yang menerima tempahan bagi 13 orang dari isi rumah berbeza yang duduk di tiga meja berasingan juga diarah tutup dengan kesemua 13 pelanggan itu disaman $300 seorang kerana berkumpul dalam kumpulan melebihi lapan orang.

Wangzi Music Restaurant pula didapati membenarkan pelanggannya minum arak pada 2.30 pagi dan diarah tutup selama 20 hari.

Kenyataan MSE juga mendedahkan bahawa Lembaga Pelancongan Singapura (STB) telah mengemukakan Pengaduan Majistret pada 20 Januari 2021 terhadap Banana Leaf Apolo Pte. Ltd. atas pelbagai pelanggaran Peraturan Covid-19 2020 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan).

Pengendali restoran tersebut akan dihadapkan ke mahkamah pada 17 Februari nanti atas beberapa kesalahan, antaranya, gagal memastikan jarak satu meter antara pelanggan, menyediakan bufet ambil sendiri dan membenarkan pelanggan berucap dan memainkan rakaman video di dalam premisnya.

Dalam pada itu, 73 individu disaman $300 seorang kerana melanggar SMM di taman dan pantai kendalian Lembaga Taman Negara (NParks).

MSE berkata sekitar 3,000 pegawai Penguatkuasaan dan Duta Jarak Selamat dikerah setiap hari untuk memastikan SMM dilaksana, dengan lebih ramai dikerahkan pada waktu sibuk, hujung minggu dan di tempat-tempat yang kerap dilihat melanggar langkah-langkah tersebut.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3