BAGI Aaron Aqil Ahmad Elmy yang berusia enam tahun, tahun ini merupakan Hari Raya Aidiladha pertama dia menyambut perayaan itu berjauhan daripada ibu bapanya.
Oleh itu, Aaron amat teruja apabila mendapat panggilan daripada ibu bapanya Encik Ahmad Elmy Mohd Yunos, 42 tahun dan Cik Qistina Sofia Eng, 41 tahun, yang menghubunginya melalui panggilan video pada petang Hari Raya Aidiladha.
Namun, walaupun Aaron berkomunikasi bersama ibu bapanya hampir setiap hari melalui pesanan suara atau panggilan video, perasaan rindunya terserlah apabila dia kelihatan semakin murung dan kemudiannya menangis sambil dipeluk neneknya apabila melihat wajah ibu dan bapanya di skrin televisyen di rumah pak ciknya.
Kedua-dua Encik Ahmad Elmy dan Cik Qistina telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji sejak 29 Jun lalu dan dijadual kembali ke Singapura Sabtu ini.
Aaron yang tidak pernah berpisah secara berpanjangan terutama sekali daripada ibunya dijaga neneknya Cik Saerah Jais, 64 tahun.
Menurut Cik Saerah, bagi beberapa malam pertama, Aaron kelihatan kesunyian dan seringkali menangis mencari ibu bapanya.
"Pada mulanya, Aaron seringkali menangis sampai tertidur setiap malam dan saya berasa amat sebak dan terharu juga melihatnya dalam kesedihan.
"Oleh itu, saya memutuskan untuk berpindah dan menginap di rumah anak bongsu saya pada hujung minggu Hari Raya Aidiladha supaya Aaron tidak berasa kesunyian tanpa kehadiran ibu bapanya," kata Cik Saerah yang turut menyatakan bahawa Aaron kelihatan lebih gembira kerana mempunyai teman sepupu sebaya di rumah anak bongsunya itu.
Bagi Encik Ahmad Elmy dan isterinya pula, ini adalah kali pertama mereka menyambut Aidiladha berjauhan dari keluarganya terutama sekali anaknya, Aaron.
"Walaupun pekerjaan saya memerlukan saya ke luar negara, tetapi saya tidak pernah berpisah dengan Aaron lebih daripada dua minggu seperti sekarang dan saya dapat rasakan rindu yang dirasakan oleh Aaron juga," kata pengurus besar di sebuah syarikat Perancis.
Walaupun berjauhan daripada anak serta keluarganya, Encik Ahmad turut meluahkan kesyukuran beliau kerana berpeluang untuk menunaikan ibadah hajinya setelah mendaftarkan nama beliau bersama isterinya sejak 2012.
"Dulu, kami sekeluarga seringkali menyambut Hari Raya Aidiladha bersama-sama meluangkan masa di masjid-masjid di Singapura dan luar negara sebagai sukarelawan untuk membantu dalam usaha korban sebelum ia diberhentikan dan pandemik Covid19 bermula.
"Namun, saya bersyukur walaupun berjauhan daripada keluarga pada Hari Raya Aidiladha ini, saya telah berpeluang untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri saya," kata beliau yang turut menyambut ulang tahun perkhawinannya yang ke-10 ketika mereka berada di Arafah.