TERDAPAT risiko banjir kilat berlaku di beberapa daerah di Singapura selepas hujan lebat pada Khamis (18 November) membanjiri longkang dan terusan sehingga tampungannya hampir penuh, kata agensi air PUB.
Dalam pos media sosialnya, ia berkata paras air di longkang dan terusan sudah mencapai 90 peratus di Pasir Panjang dan Commonwealth Drive sekitar 8.20 pagi.
PUB awalnya berkata hujan lebat dijangka di banyak tempat di Singapura mulai 8.30 pagi hingga 10.30 pagi pada Khamis.
Paras air telah meningkat melepasi 90 peratus di Jalan Boon Lay dan Clementi Road sehingga 8.30 pagi.
Di Hillcrest Road, yang berhampiran Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) dan Dunearn Road, berhampiran Sime Darby Centre, paras air juga meningkat melepasi 90 peratus.
Khidmat Kaji Cuaca Singapura berkata bahawa cuaca hujan dijangka berterusan sehingga penghujung November, dengan hujan petir pada waktu tengah hari (kebanyakan hari sewaktu tempoh ini), akan berlanjutan hingga petang pada beberapa hari.