TERDAPAT risiko banjir kilat di beberapa kawasan di Singapura selepas hujan lebat pada Rabu (2 Mac), jelas agensi air negara PUB.
Dalam pos media sosial, PUB berkata paras air di longkang dan longkang besar sudah mencecah 90 peratus tampungan di Tanjong Pagar Road dan Craig Road sekitar 3.50 petang serta Choa Chu Kang Avenue 1 dan Teck Whye Lane sekitar 4.10 petang.
Paras air juga meningkat melepasi 90 peratus di Woodlands Road dan Ekspreswe Kranji sehingga 4.12 petang.
Puay Hee Avenue dan Siak Kew Avenue, berhampiran Upper Serangoon Road juga melihat paras air naik melepasi 90 peratus.
Aljunied Road, Upper Paya Lebar Road dan Sungai Tongkang berhampiran Yio Chu Kang Road dan Ang Mo Kio Avenue 5 juga berdepan dengan risiko banjir kilat.
Orang awam dinasihati agar mengelakkan semua kawasan ini dalam sejam mendatang.
Awal daripada itu, PUB berkata hujan lebat dijangka di banyak kawasan di Singapura mulai 4.15 petang hingga 5.30 petang pada Rabu.