Riz Sunawan kekal positif walau ditimpa penyakit tiada penawar

Penyakit MND merupakan penyakit sama yang dihidapi saintis Stephen Hawking

SEBAIK sahaja beliau didorong masuk ke pejabat Berita Harian, sambil mengukirkan senyuman, hos Riz Sunawan dengan selambanya berkata: "Profesor X dah sampai!"

Profesor X atau Charles Xavier merujuk kepada watak dalam buku komik dan filem 'X-Men' yang juga merupakan ketua kumpulan tersebut. Seperti Riz, watak tersebut juga berkerusi roda.

Mendengar sedemikian, kami yang di pejabat, tertawa, namun jauh di lubuk sanubari timbul rasa kagum dengan semangat positif dalam diri Riz atau nama sebenarnya Mohammad Asri Sunawan meskipun ditimpa penyakit tiada penawar.

Bujang 40 tahun ini telah ke bilik berita Berita Harian bagi satu rakaman podcast #NoTapis, terbitan akhbar ini.

Rakaman itu merupakan kali pertama Riz berkongsi tentang keadaannya secara terbuka kepada media.

Mantan penyampai berita Melayu yang dikenali dengan suaranya yang mantap ini disahkan menghidap sejenis penyakit - penyakit motor neuron (MND) - yang juga dikenali sebagai 'amyotrophic lateral sclerosis' (ALS).

MND menyebabkan sel saraf di otak dan sumsum tulang belakang yang dipanggil 'motor neuron' tidak lagi berfungsi atau dinamakan 'neurodegeneration'.

Seseorang yang menghidapi penyakit ini akan mengalami kesukaran bergerak, bercakap dan akhirnya bernafas.

Penyakit ini, yang juga merupakan penyakit sama yang dihidapi saintis Stephen Hawking, buat masa ini tiada penawarnya di dunia.

Sekitar 90 peratus pesakit yang menghidapi ALS mengalaminya tanpa sejarah keluarga, sama seperti Riz.

Dalam pada itu, mereka yang menghidapi penyakit ini selalunya hanya mempunyai jangka hayat antara dua dengan lima tahun.

Mengimbas kembali kali pertama beliau mengalami tanda-tanda menghidapi penyakit ini, Riz yang masih lagi merupakan Ketua Perhubungan di sebuah badan berkanun berkata, beliau sedang menguruskan pihak media mewawancara kepulangan para jemaah haji di Lapangan Terbang Changi, pada Ogos tahun lalu apabila tiba-tiba terjatuh.

"Bayangkan saya tiba-tiba hilang kawalan, dan terjatuh di atas karpet di lapangan terbang. Saya fikir saya tersandung sesuatu tetapi takda nampak apa-apa.

"Agak malu jugak. Para jemaah yang tolong saya. Tetapi saya tidak fikir apa-apa ketika itu. Malah saya teruskan bekerja untuk hari itu," kongsinya.

Sekitar sebulan kemudian, Riz berkata beliau mengalami satu lagi kejadian terjatuh di tepi jalan raya, kali ini pada malam sebelum beliau menjadi hos Bulan Bahasa di Wisma Geylang Serai.

Namun, beliau tidak pergi berjumpa doktor kerana tidak menyangka ia sesuatu yang serius sehinggalah kejadian ketiga yang membuatnya tergerak mendapatkan nasihat pakar.

Kejadian tersebut berlaku semasa beliau mahu berbasikal dari rumahnya di Chai Chee ke pantai East Coast - antara kegiatan kegemaran Riz.

"Pada hari itu, saya tidak tahu kenapa kaki saya begitu lemah dan berat sekali untuk mengayuh basikal.

"Akhirnya saya tidak jadi ke East Coast...sebaliknya saya terus ke poliklinik," ujar beliau.

Selesai mengambil beberapa ujian darah, Riz, yang juga merupakan mantan penyampai/penerbit radio Warna 942FM itu, disarankan ke Hospital Besar Singapura (SGH) bagi mendapatkan pemeriksaan lanjutan.

"Katanya, ada sesuatu yang tidak kena pada ujian sampel darah saya," katanya lagi.

Di hospital, pelbagai ujian dijalankan ke atas Riz termasuk imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik).

Selepas pemeriksaan selama lima hari pada Oktober tahun lalu, barulah doktor memberitahu beliau mengenai keadaan yang menimpanya itu.

Riz, yang merupakan anak sulung tiga beradik ini, kemudian memberitahu bapanya, Encik Sunawan Dasuri, 69 tahun dan dua adik beradiknya - seorang lelaki dan perempua - mengenai keadaan beliau.

Bapanya seorang pesara dan merupakan mantan pegawai perkhidmatan awam.

Beliau tidak langsung memberitahu ibunya, Cik Jamaliah Sujak, 67 tahun, seorang suri rumah kerana tidak mahu beliau bimbang.

Ibunya menghidapi penyakit buah pinggang sejak lima tahun dulu dan perlu menjalani rawatan dialisis peritoneal (PD) setiap hari di rumah, menurut Riz.

Sejak itu, Riz berkata keadaannya semakin hari semakin lemah.

Pada mulanya, beliau masih boleh berjalan dengan menggunakan alat bantuan seperti tongkat.

Tetapi semakin lama, beliau dapat rasakan ototnya terasa berat sehingga sukar untuknya melakukan perkara-perkara biasa seperti mengambil air di dapur dan minum air dengan menggunakan satu tangan.

Bahkan semasa sesi rakaman podcast itu, Riz terpaksa mendapat bantuan wartawan untuk memakaikannya fon telinga.

"Memang kadang-kadang nak balas mesej di telefon pun sukar. Jadi saya harap mereka yang mesej tak marahlah kalau saya lambat jawab," katanya.

Riz beberapa kali mengalirkan air mata sepanjang rakaman podcast. Beliau terus tidak dapat menahan sebak apabila menceritakan bagaimana beliau memerlukan bantuan untuk mengambil wuduk.

"Begitulah, pada hari-hari lemah saya, sampai nak ambil wuduk pun susah. Ayah terpaksa bantu saya terutama untuk membasuh kaki," katanya sambil menitiskan air mata.

Tetapi meskipun demikian, Riz tetap bersikap positif.

Beliau masih rajin ke kerja selain menjalani terapi dua kali seminggu di Persatuan bagi Orang Kurang Upaya.

"Alhamdulillah majikan saya amat prihatin dan sentiasa memberikan sokongan sehingga membantu menyediakan ruang yang secukupnya bagi memudahkan pergerakan saya yang kini berkerusi roda," katanya.

Jika tiada yang membantunya apabila perlu ke tempat-tempat yang diperlukannya, Riz akan menggunakan khidmat Grab Assist.

Kini di Instagramnya, Riz juga aktif memberikan kata-kata perangsang dan motivasi bukan sahaja buat para pengikutnya tetapi untuk dirinya juga.

Riz yang pernah meraih Anugerah Penyampai Berita Terbaik (Melayu) pada 2004 dalam Anugerah Kecemerlangan Berita anjuran Mediacorp, amat positif dan berharap ada yang meraih inspirasi daripada kecekalan dan ketabahannya menghadapi keadaannya.

"Apabila ada yang katakan kepada saya, mereka stres dengan kehidupan, saya selalu katakan kepada mereka, kalau kamu stres, apa lagi saya, saya sepatutnya lebih stres daripada kamu," katanya sambil tersenyum.

Malah meskipun tercabar, Riz masih tetap mahu menyumbang kepada masyarakat.

Beliau masih menyumbang tenaga selaku anggota Jawatankuasa Bulan Bahasa 2018/2019 dan merupakan Timbalan Setiausaha Kedua Majlis Bahasa Melayu Singapura, MBMS.

Beliau juga berharap mereka yang bertemunya di luar tidak 'malu-malu' untuk mendekatinya. Meskipun tubuhnya dimamah penyakit, beliau masih Riz yang sama, katanya.

"Saya hanya mohon doa semua di luar sana agar penyakit saya ini tidak bertambah teruk dan saya boleh teruskan kehidupan dengan tabah dan penuh keyakinan," katanya positif.


MAKLUMAT TENTANG RIZ SUNAWAN

Nama sebenar: Mohammad Asri Sunawan
Usia: 40 tahun, masih bujang.
Kerjaya: Bermula sebagai Penyampai/Penerbit radio Warna 94.2FM pada 2005 hingga 2008.
- Pengulas Perbarisan Hari Kebangsaan (2007). - Beralih ke bahagian Berita dan Ehwal Semasa televisyen Melayu sebagai Penerbit/ Penyampai/ Pembaca Berita/ Wartawan dari 2008 hingga 2015.
- Kini Ketua Perhubungan di sebuah badan berkanun.
- Pinjamkan suara bagi pelbagai iklan komersial radio dan televisyen.
Pendidikan: Sarjana Muda Universiti SIM (UniSIM) dalam jurusan Komunikasi.
Anugerah/Perlantikan: Penyampai Berita Terbaik (Melayu) 2009 Anugerah Kecemerlangan Berita MediaCorp.
- Antara Duta Bahasa pertama yang dilantik pada 2010 bersama enam lagi Duta termasuk Anggota Parlimen, Cik Rahayu Mahzam.
- Keanggotaan: Jawatankuasa Bulan Bahasa 2018/2019.
- Timbalan Setiausaha Kedua bagi Majlis Bahasa Melayu Singapura, MBMS.