YAYASAN Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan menyediakan 20,000 paket makanan untuk golongan kurang bernasib baik dan pekerja migran di dormitori tertentu Ramadan ini.
Inisiatif itu merupakan kerjasama antara RLAF, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra), M³@Bandar, Kumpulan Keyakinan Antara Kaum dan Agama (IRCC) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
RLAF menyasarkan untuk mengumpulkan $300,000 melalui portal www.giving.sg antara 13 April hingga 12 Mei untuk disalurkan terhadap penyediaan set bento makanan.
Projek tersebut merupakan lanjutan inisiatif SGUnited Buka Puasa yang diadakan April dan Mei tahun lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan RLAF, projek tersebut bertujuan berkongsi keberkatan Ramadan dan memastikan setiap individu yang memerlukan mempunyai makanan untuk berbuka puasa dan makan malam dalam bulan Ramadan, walaupun dalam suasana pandemik Covid-19.
"Yayasan ini ingin meneruskan usaha bermakna ini untuk berkongsi keceriaan Ramadan bersama individu dan keluarga yang kurang bernasib baik dan juga dengan pekerja asing Muslim di sini, walaupun dalam suasana Covid-19 ini," katanya.
Golongan yang bakal menerima bantuan melalui projek ini merupakan antara penerima bantuan Comcare dan Zakat serta pekerja asing yang menetap di beberapa dormitori yang dikenalpasti.
Sebanyak 19 lokasi dikenalpasti bagi pengagihan set bento itu, dan sebanyak 5,000 paket makanan akan diagihkan setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadan.
Antara lokasi yang dikenalpasti termasuk 10 Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) M³@Bandar di Bedok, Chua Chu Kang, Jurong, Marsiling Yew-Tee, Nee Soon, Pasir Ris- Punggol, Woodlands, Bishan-Toa Payoh, Tampines dan Geylang Serai.
Selain itu, set bento itu akan diagihkan di lima tempat ibadah termasuk Kuil Sri Muneeswaran, Gereja St Mary of the Angels dan Kuil Buddha Thai Wat Ananda Metyarama.
Kesemua set bento itu disediakan dalam dapur pusat yang dimiliki katerer berlesen dan bersijil halal.
Lebih 200 sukarelawan dari pertubuhan berbeza terlibat dalam usaha tersebut.
Orang ramai boleh membuat sumbangan melalui beberapa wadah termasuk platform dalam talian Giving.sg, Paynow, dan cek.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai projek ini boleh hubungi Izhar Roslan di izhar@rlafoundation.org.sg atau Amira Amani di amiraamani@rlafoundation.org.sg.
CARA MENYUMBANG
Orang ramai boleh menyumbang kepada projek RLAF melalui beberapa cara:
1) Giving.sg- http://tinyurl.com/blessingstoall
2) Paynow:
UEN: 200910530Z
Tuliskan 'Blessings to All' dalam ruang 'Reference'
3) Internet Banking:
OCBC Current Account a/c no: 629 069154 001
4) Cek:
Ditulis di belakang cek:
-Nama
-NRIC
-Nombor telefon
-"Blessings to All Project"
Cek perlu dihantarkan ke:
RLAF/ MUIS
273 Braddell S(579702)
RLAF
Masjid Yusof Ishak, No. 10, Woodlands Drive 17, S(737740).
Untuk maklumat lanjut:
Izhar Roslan at izhar@rlafoundation.org.sg
Amira Amani at amiraamani@rlafoundation.org.sg
Whatsapp atau hubungi 9624 6066