Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Robot ronda Xavier jejak tabiat tak elok di kawasan kejiranan dalam projek percubaan

Sep 05, 2021 | 02:46 PM



SEBUAH robot berautonomi yang direka bagi mengesan dan mengemukakan tabiat buruk orang awam mula menjalankan tugasnya di kawasan kejiranan.



Dikenali dengan nama Xavier, ia akan meronda di kawasan kejiranan Toa Payoh Central sebagai sebahagian daripada projek percubaan tiga minggu bermula Ahad (5 September).



Dua robot ini menjejak pengendali gerai haram, perokok yang menyalakan batang rokok mereka di kawasan terlarang, penunggang motosikal dan e-skuter yang berdegil menaiki kenderaan mereka di laluan pejalan kaki serta perhimpunan dengan jumlah peserta melebihi batas yang ditetapkan bagi sesebuah kumpulan.



Dengan kamera yang mempunyai daya tatapan 360 darjah dan boleh melihat dalam gelap, robot ini boleh memberitahu pegawai awam pada waktu sebenar jika wujudnya kelakuan yang tidak wajar di mata masyarakat, jelas pihak berkuasa.



Ia juga boleh memaparkan pesanan mendidik orang awam tentang tabiat yang tidak baik ini.



Ini adalah kali pertama robot berautonomi digunakan bagi meronda dan meninjau kawasan awam dengan trafik pejalan kaki yang tinggi demi memperkukuh kesihatan dan keselamatan awam, jelas lima agensi awam yang terlibat dalam projek bersama ini.



Lima agensi ini terdiri daripada Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Makanan Singapura dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).



Mereka menjelaskan Xavier, yang dibangun HTX dengan kerjasama Agensi Sains, Teknologi dan Penyelidikan, akan membantu memperbaiki keberkesanan operasi dan mengurangkan tenaga manusia yang diperlukan bagi rondaan berjalan kaki.



Ini khususnya bagi operasi intensif tenaga manusia seperti pemantauan pengendali gerai haram.



Ia persis Robot Berautonomi Semua Rupa Bumi Serba Guna atau Matar yang dikerahkan sewaktu acara awam besar-besaran seperti Perbarisan Hari Kebangsaan, Acara 'Countdown' Tahun Baru di Marina Bay dan pesta Chingay.



"Peronda" yang tidak penat ini juga digunakan bagi menguatkuasakan perintah jarak selamat di dormitori pekerja asing dan kemudahan kuarantin pemerintah.



Robot berautonomi lain juga muncul dalam tempoh pandemik Covid-19, mengingatkan orang ramai agar mengekalkan jarak selamat di taman dan berhampiran kolam air.



Xavier dikatakan dilengkapi dengan pelbagai pengesan agar ia boleh mengelakkan halangan yang tidak bergerak atau dinamik seperti pejalan kaki dan kenderaan dalam laluan rondaannya.



Laluan robot ini sudah ditentukan awal. 



Ia boleh mengirim semula imej dan video pada pusat arahan dan kawalan, di mana pegawai awam berupaya mengawasi dan mengawal berbilang robot secara serentak.



Pegawai ini boleh memberi respons pada kejadian pada jarak jauh menerusi interkom dua hala Xavier atau dengan menggunakan pesanan audio prarakaman.



Data yang dikumpulkan Xavier juga disampaikan menerusi sistem analitik video yang dibangun HTX bagi membantu pegawai awam memperolehi pemahaman lebih baik dan menggerakkan sumber tambahan jika perlu.



Sebagai contoh, analitik ini boleh menyediakan maklumat mengenai kawasan baru yang sering wujud kegiatan yang tidak diingini buat pengguna alat mobiliti yang aktif dan melanggar undang-undang serta membantu LTA menumpukan perhatian pada usaha penguatkuasaan fizikal, kata pengarah penguatkuasaan dan pengurusan pematuhan LTA, Encik Calving Ng.



Matlamat projek perintis tiga minggu ini adalah mengumpulkan data bagi memperbaiki keupayaan sistem analitik video dalam mengenal pasti sikap yang tidak wajar dan memperhalusi sebarang masalah yang ada.



Namun, robot ini akan digunakan khususnya buat pendidikan daripada tujuan menguatkuasakan undang-undang dalam tempoh percubaan, jelas agensi berkenaan.



Xavier akan dikerahkan di dua laluan setiap hari kecuali Sabtu, antara 8 pagi dengan 10 pagi, 12 tengah hari dengan 2 petang serta 5 petang dengan 7 malam.



Robot ini mempunyai had kelajuan maksimum 5 kilometer sejam dan boleh bertahan antara empat hingga lima jam jika dicas penuh.



Pengarah Pusat Kepakaran Robotik, Automasi dan Sistem Tanpa Manusia HTX, Encik Cheng Wee Kiang, berkata: "Dengan Xavier, kita boleh menggandapaksakan agensi di luar Home Team dengan menambah keperluan tenaga kerja dan mencapai keberkesanan operasi lebih besar pada satu wadah robotik.



"Sinergi ini membolehkan agensi pemerintah membangun ekosistem operasi teknologi dan terus memperkukuh kesihatan dan keselamatan awam."



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >