SEORANG lelaki yang dalam masa 20 minit merogol seorang wanita di tiga lokasi di sebatang jalan pada 2013, dijatuhi hukuman penjara 16 tahun, 10 bulan dan dua minggu, dan sebat 22 kali pada Selasa (10 Mei).
Semasa menjatuhkan hukuman ke atas Lim Choon Beng, Pesuruhjaya Kehakiman Foo Chee Hock berkata: "Idea bahawa seseorang dapat berjalan dengan selamat di jalan raya awam di Singapura pada bila-bila masa hancur akibat perbuatan mengejutkan dan kurang ajar tertuduh pada pagi tersebut."
Beliau berkata mesej jelas perlu disampaikan bahawa mereka yang melakukan kesalahan itu akan dihukum dengan "kuasa penuh undang-undang".
Pendakwa meminta hukuman penjara sekurang-kurangnya 17 tahun dan sebat maksimum 24 kali bagi Lim, 30 tahun.
Pada mulanya, Lim mengaku tidak bersalah merogol wanita tersebut, yang ketika itu seorang penyanyi kelab malam berusia 24 tahun dari China, yang sedang berjalan pulang ke rumah sendirian pada awal pagi 9 Feb 2013.
Wanita itu, kini 27 tahun, pulang ke Singapura untuk memberi keterangan mengenai cara Lim, yang ketika itu dalam keadaan mabuk, merogol beliau di luar kondominium Watermark di Martin Road, kemudian di luar kondominium Robertson 100, dan akhirnya berhampiran tiang lampu nombor 16 di River Valley Close.
Sehari selepas perbicaraan bermula, Lim memilih mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan rogol, satu tuduhan serangan seksual dan satu pertuduhan mencabul kehormatan teruk.
Mahkamah diberitahu bahawa wanita itu merayu Lim supaya melepaskannya tetapi dia mengugut akan memukulnya jika beliau menolak.
Selepas dirogol kali ketiga, wanita itu dapat melarikan diri.
Lim ditangkap selepas mangsa kembali ke River Valley Close dan menunjukkan dia kepada polis, yang dihubungi oleh seorang pengawal keselamatan.