Rombongan Brunei berkunjung Raya ke rumah terbuka Masagos, Maliki

SATU rombongan dari Brunei semalam dijamu juadah Hari Raya di rumah terbuka dua pemimpin Singapura - Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkilfi Masagos Mohamad; dan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman.

Lawatan itu meneruskan tradisi pemimpin Singapura dan Brunei yang berbalas kunjungan sempena Aidilfitri.

Rombongan Brunei itu dianggotai Menteri Hal Ehwal Ugama, Pehin Badaruddin Othman; Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dato Mohd Roselan Mohd Daud; Timbalan Menteri Pertahanan dan Panglima Pertama, Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz Mohammad Tamit; Timbalan Menteri Pembangunan Brunei, Dato Paduka Awang Suhaimi Abdul Gafar; dan Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Singapura, Awang Saifulbahri Mansor.

Diiringi pasangan masing-masing, rombongan itu menghadiri rumah terbuka Encik Masagos - yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines - dan isteri, Cik Jumelah Ja'afar, pada sekitar 12 tengah hari semalam.

Sekitar 650 orang menghadiri acara itu termasuk AP GRC Tampines lain seperti Encik Baey Yam Keng, Encik Desmond Choo dan Cik Cheng Li Hui; mantan Menteri Kabinet, Encik Mah Bow Tan; dan aktivis dan pemimpin akar umbi di Tampines.

Antara lain, tetamu dijamu lemang, laksa dan kuih-muih Melayu.

Pada sekitar 1 petang, rombongan Brunei itu kemudian menghadiri rumah terbuka Dr Maliki dan isteri, Cik Sadiah Shahal, pula.

Majlis itu dihadiri anggota diplomat dari pelbagai negara, kanak-kanak yang menghidap penyakit mengancam nyawa daripada Pusat Kanak-Kanak Arc; dan kanak-kanak daripada Darul Ihsan.

Tetamu berpeluang menikmati hidangan seperti ketupat, sambal goreng dan nasi beriani.

Seramai 600 hingga 700 orang dianggarkan menghadiri acara anjuran Dr Maliki itu, dengan kerjasama jiran tetangganya yang mengongsi tempat di kawasan rumah mereka bagi meletakkan kerusi dan meja untuk tetamu.

"Inilah suasana sambutan Hari Raya di Singapura, dengan semangat bersatu padu dan keharmonian kaum yang dinikmati di sini," ujar Dr Maliki.