Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ISU PENDAKWAH SOMAD

RRG: Tolak dakwah yang bercanggah dengan tuntutan syariah

May 25, 2022 | 05:30 AM



UMAT Islam harus menolak pendakwah yang mempunyai pandangan bercanggahan dengan tuntutan syariah, kata Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).



Kumpulan itu berkata ia memberi respons dengan "rasa amat malu dan sangat kesal terhadap rakan pendakwah yang nampaknya memiliki dan menyebar pandangan bertentangan dengan nilai kemanusiaan, belas kasihan, dan cinta mendalam kepada orang lain, yang merupakan nilai Islam dan universal yang diterima".



Kenyataan RRG itu dikeluarkan semalam dengan memetik laporan media mengenai pendakwah Indonesia, Abdul Somad Batubara, yang dilarang memasuki Singapura kerana ajarannya yang bersifat ekstremis dan pengasingan, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) sebelum ini.



Kelmarin, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata beberapa orang yang disiasat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) bagi radikalisasi didapati telah mengikuti ceramah dan ajaran Abdul Somad.



Antaranya ialah seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Januari 2020, yang menonton ceramah Abdul Somad di YouTube tentang pengeboman nekad.



Dalam satu ceramah yang disiarkan dalam talian, Abdul Somad telah berdakwah bahawa pengeboman nekad dibolehkan dalam konteks konflik Israel-Palestin, dan dianggap sebagai operasi 'syahid'.



Membidas pandangan ini, RRG berkata dengan menyamakan perjuangan Nabi dengan pengeboman nekad, pendakwah itu menunjukkan "pemahaman amat berkurangan tentang prinsip dan peraturan peperangan dalam Islam".



Abdul Somad juga telah membuat komen yang memburuk-burukkan anggota masyarakat agama lain seperti Kristian, dengan menggambarkan salib Kristian sebagai tempat kediaman 'jin kafir'.



Mengenai komen ini, RRG berkata dengan merendah-rendahkan tempat atau cara ibadah orang lain, beliau telah melanggar prinsip asas hubungan dan dialog silang agama dalam Islam iaitu rasa hormat.



Hubungan antara agama dibina atas persamaan dan penghayatan perbezaan sebagai satu rahmat.



"Orang Islam harus menolak pendakwah atau individu lain dengan pandangan yang bertentangan dengan tujuan syariah, walaupun mereka daripada golongan kita sendiri kerana orang Islam menyokong kebenaran, tidak kira sumbernya, dan menolak kepalsuan, tidak kira asalnya.



"Kami menyokong kuat pendirian pemerintah Singapura bahawa pandangan memecahbelahkan dan pengasingan tidak mempunyai tempat di negara ini," kata RRG.



Tambah kumpulan itu lagi, kehidupan harmoni dan bersatu padu dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura merupakan satu aspek penting kehidupan di Singapura.



"Marilah kita pelihara kestabilan ini dan tidak membiarkan mana-mana kenyataan memecahbelahkan menjejas usaha memelihara kepercayaan dan kemanusiaan yang diusahakan kita semua," kata RRG.



Satu lagi pertubuhan Islam setempat, Jamiyah Singapura, pula mengalu-alukan kenyataan Encik Shanmugam bahawa keputusan untuk melarang Abdul Somad ke Singapura "tidak disasarkan kepada mana-mana individu, agama, atau kewarganegaraan secara khusus".



"Kami melihat pendekatan rasmi secara adil dan sifar toleransi terhadap ucapan dan/atau tindakan yang boleh memecahbelahkan dan tidak menyatukan warga Singapura, pendekatan ini jelas dalam beberapa insiden yang berbaur perkauman atau agama, secara langsung atau tidak," kata Jamiyah.



Pada 2017, dua pendakwah asing Kristian dilarang berdakwah di Singapura, yang mana seorangnya telah menyifatkan Allah sebagai tuhan palsu, dan seorang lagi berucap tentang 'kejahatan Islam'.



Pada 2018, pendakwah Kristian dari Amerika Syarikat, Lou Engle, juga dilarang berdakwah di Singapura kerana didapati membuat komen yang menghina Islam.



Baru-baru ini, seorang bekas pensyarah, Tan Boon Lee, 61 tahun, didakwa dengan tuduhan membuat komen perkauman, dan ucapan yang tidak sensitif terhadap agama semasa berceramah.



Jamiyah juga berkata ia menantikan undang-undang baru Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum di Singapura yang akan mempertingkatkan lagi sekitaran silang kaum dan agama di negara ini.



"Memandangkan keharmonian masyarakat yang dihargai ini tidak datang secara semula jadi, kita semua harus terus berusaha sedaya upaya untuk menjadikan pulau kecil ini tempat yang lebih baik untuk generasi masa depan," kata Jamiyah.




PANDANGAN PERTUBUHAN ISLAM



"Kami melihat pendekatan rasmi secara adil dan sifar toleransi terhadap ucapan dan/atau tindakan yang boleh memecahbelahkan dan tidak menyatukan warga Singapura, pendekatan ini jelas dalam beberapa insiden yang berbaur perkauman atau agama, secara langsung atau tidak.

Memandangkan keharmonian masyarakat yang dihargai ini tidak datang secara semula jadi, kita semua harus terus berusaha sedaya upaya untuk menjadikan pulau kecil ini tempat yang lebih baik untuk generasi masa depan."

- Jamiyah Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >