PUSAT ruang kerja bersama syarikat pemula, Staytion, yang kedua telah dibuka di Stesen MRT Paya Lebar pada 14 Disember lalu, selepas respons yang memberangsangkan untuk pusat pertamanya.
Terletak di kawasan kediaman dan komersial yang strategik, ruang kerja bersama di Paya Lebar itu mempunyai keluasan sekitar 1,000 kaki persegi.
Ia mempunyai kemudahan seperti sebuah bilik mesyuarat, enam studio peribadi, dan 12 meja kongsi, atau 'hot desk'.
Sama seperti pusat pertamanya, ruang kerja bersama di Paya Lebar itu boleh diakses setiap hari dari 9 pagi hingga 6 petang dan dilengkapi dengan kakitangan Staytion, WiFi, mesin cetak dan mesin buat kopi.
Meja kongsi adalah tawaran produk paling popular, dengan purata kadar penggunaan harian sebanyak 80 peratus hingga 90 peratus.
Oleh sebab kadar penggunaan yang tinggi, Staytion kerap mengingatkan pengguna supaya menempah lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.
Selain daripada kemudahan, prinsip reka bentuk adalah konsisten di semua pusat Staytion. Kedua-dua pusat di Marsiling dan di Paya Lebar itu menggunakan unsur organik untuk menyediakan suasana yang selesa dan produktif.
Berucap pada pelancaran pusat pertama di Stesen MRT Marsiling pada 28 September lalu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata pandemik Covid-19 telah mengubah cara warga bekerja, dengan lebih ramai pekerja dan majikan mendakap sekitaran kerja hibrid.
Ini selaras dengan apa yang dikongsi pengerusi Staytion, Encik Abu Bakar Mohd Nor, yang berkata lebih banyak syarikat menyasar untuk mengurangkan kos sewa pejabat pada masa jangka panjang, serta meningkatkan kesenangan dan produktiviti pekerja.
"Sejak melancarkan cawangan pertama Staytion, kami telah menerima lebih 15 peratus pertanyaan daripada Syarikat Kecil dan Sederhana (SME) yang ingin melaksanakan langkah-langkah penjimatan kos, termasuk sewa pejabat mereka.
"Staytion telah terbukti mampu menjadi penyelesaian praktikal untuk syarikat mencari alternatif kos efektif," kata Encik Abu Bakar.
Oleh itu, Staytion merancang bekerjasama dengan syarikat ruang kerja bersama yang lain untuk menyenaraikan 20 lagi pilihan lokasi di laman webnya.
Staytion juga akan membuka dua lagi ruang kerja bersama di stesen MRT Dhoby Ghaut dan Woodlands pada tahun depan.
Pusat di Stesen MRT Dhoby Ghaut akan dibuka pada suku pertama 2023 dan ia merupakan sebuah pusat gaya hidup dan akan menawarkan pelbagai pilihan runcit, makanan dan minuman.
Encik Abu Bakar turut berkongsi bersama Berita Harian bahawa beliau percaya kerja hibrid akan membentuk masa depan kerja.
"Bekerja di meja kongsi yang fleksibel boleh menjimatkan kos, menjimatkan masa perjalanan dan meningkatkan produktiviti keseluruhan.
"Kerja hibrid akan membentuk masa depan kerja dan Staytion berada di barisan depan untuk memacu gerakan hibrid," tambah Encik Abu Bakar.