Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Rumah jagaan warga tua usaha sokongan tambahan

Langkah ekoran langkah pengurusan ketat termasuk tidak benarkan penghuni terima pengunjung
Oct 18, 2021 | 05:30 AM



MENYEDIAKAN kemudahan berhubung dengan keluarga menerusi panggilan telefon atau maya dan memantau keadaan mental penghuni dengan lebih dekat adalah antara sokongan tambahan yang diusahakan rumah penjagaan warga emas yang dikendali pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di sini.



Ini sedang kemudahan penjagaan itu terus tidak boleh membenarkan pengunjung melawat penerima jagaan hingga 24 Oktober ini, selain beberapa langkah pengurusan selamat lain yang diperketat.



Rumah penjagaan yang dihubungi Berita Harian juga memberitahu ia telah memperuntuk kakitangan tambahan terlatih bagi menangani keadaan sekiranya terdapat penularan Covid-19 yang berlaku di situ.



Pengarah Eksekutif Rumah Warga Tua Pertapis (PSCFH), Cik Kamsinah Sadar, berkata meskipun ia mempunyai sumber tenaga kakitangan yang mencukupi di PSCFH, ia turut mempunyai satu pasukan yang berada dalam status siap siaga yang terdiri daripada kakitangan daripada jabatan lain.



Beliau menambah, semua kakitangan tersebut sekurang-kurangnya sudah dilatih dengan kemahiran pertolongan kecemasan dan berupaya menyelia Ujian Pantas Antigen (ART).



"Ini adalah sebahagian perancangan kesinambungan perniagaan kami sekiranya terdapat penularan yang berlaku dan lebih kakitangan diperlukan," kata beliau.



PSCFH, yang terletak di Lorong 8 Toa Payoh, mempunyai 40 orang penghuni.



Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengumumkan semua kunjungan ke rumah jagaan warga emas akan digantung sehingga 24 Oktober berikutan beberapa kelompok jangkitan di kemudahan jagaan warga emas yang muncul pada hujung September lalu.



Di samping itu, rumah jagaan dikenakan langkah pengurusan selamat diperketat.



Antaranya, semua staf dan penghuni diperlukan menjalani ujian lebih kerap, memisahkan penduduk dan kakitangan berdasarkan zon kerja dan tidak boleh bergaul.



Dengan ahli keluarga penghuni terus tidak dibenarkan melawat pusat itu, Cik Kamsinah berkata terdapat penduduk PSCFH yang menunjukkan rasa gelisah.



"Kakitangan kami memantau kebajikan mental penghuni kami dengan teliti dan menghabiskan lebih banyak masa dengan mereka, seperti mendekati mereka atau memberi mereka sokongan tambahan, mengambil lebih masa mendengar keprihatinan dan keluhan mereka," kata beliau.



Pada masa yang sama, pihaknya juga memperuntukkan masa lebih panjang dan kerap bagi penghuni menghubungi anggota keluarga menerusi panggilan telefon atau video, selain menganjurkan lebih banyak kegiatan bagi mengisi masa penghuni dengan bermakna.



Sementara itu, Pusat Jagaan Kesihatan dan Siang Hari Muhammadiyah (MHCC) pula telah meyediakan lebih banyak kit ART demi memastikan semua staf dan kakitangan menjalani ujian Covid-19 secara kerap.



"Pengendali pengangkutan bagi klien kami perlu melakukan lebih banyak perjalanan demi memastikan adanya jarak selamat antara mereka," kata Cik Rahimah Mazelan, eksekutif perhubungan korporat MHCC.



Terdapat empat rumah atau pusat jagaan warga emas yang dikendali pertubuhan Melayu/Islam di sini.



Selain Pertapis dan Muhammadiyah, dua lagi pusat diurus Jamiyah.



Jamiyah, bagaimanapun, menolak permintaan BH untuk diwawancara.



Semua penghuni layak di PSCFH sudah divaksinasi sepenuhnya dan sesi suntikan vaksin penggalak akan diadakan pada esok, kata Pertapis manakala Muhammadiyah menjelaskan, di MHCC, seramai 48 peratus penghuninya telah menerima suntikan penggalak pada 14 Oktober lalu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >